Malaysia utama pembaharuan industri untuk tarik pelabur

Malaysia utama pembaharuan industri untuk tarik pelabur

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengutamakan pembaharuan industri, inovasi dan peralihan hijau sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mengukuhkan daya tahan dan menarik pelabur global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keyakinan pelabur jelas kembali dengan kedudukan daya saing global Malaysia melonjak. 

Katanya, eksport negara semakin pelbagai, dengan teknologi hijau, peranti perubatan dan perkhidmatan digital berkembang pesat sebagai tiang pertumbuhan baharu. 

“Gergasi semikonduktor global menambah kehadiran mereka di Pulau Pinang, hab kecerdasan buatan (AI) dan pusat data muncul di Johor, sementara projek tenaga boleh diperbaharui di Kedah dan Terengganu sedang menjana tenaga untuk rumah serta taman perindustrian.

“Bagi pelabur, disiplin dalam pelaksanaan pembaharuan perindustrian menandakan keazaman negara untuk meningkatkan rantaian nilai. Dorongan ke dalam AI, tenaga boleh diperbaharui, dan pembuatan termaju adalah pertaruhan strategik dan misi kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asia 2025 oleh Milken Institute di Singapura hari ini.

Beliau berkata dalam mengharungi landskap global yang semakin sukar pada masa kini, Malaysia mengamalkan pendekatan tiga serampang iaitu menerusi reformasi perindustrian, inovasi dan kekompleksan ekonomi, serta strategi hijau. 

Tengku Zafrul berkata reformasi perindustrian negara ditumpukan kepada langkah melengkapkan sektor industri menerusi usaha naik taraf atau menggantikan jentera, peralatan dan proses dengan yang baharu untuk menghadapi cabaran masa depan.

“Melalui usaha menaik taraf industri, pendigitalan dan kemampanan, Malaysia sedang meningkatkan kecanggihan pembuatan, mempercepat penerapan teknologi, dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Malaysia, yang sejak sekian lama dipercayai sebagai hab pemasangan dan pengujian, kini secara proaktif meningkatkan inovasi dan kekompleksan ekonomi bagi rantaian nilai, melibatkan seperti reka bentuk, pembungkusan termaju serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi semikonduktor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN