JOHOR BAHRU: Pengusaha bas persiaran di Semenanjung Malaysia memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada sektor itu, sama seperti dinikmati pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R Thiagarajan berkata langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan operasi serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, kenaikan hampir sekali ganda harga diesel sehingga mencecah RM5.20 seliter telah memberi tekanan besar kepada pengusaha yang terpaksa menanggung peningkatan kos operasi.
“Harga diesel yang kini mencecah RM5.20 seliter menyebabkan pengusaha bas persiaran berdepan situasi buntu untuk memberikan harga perkhidmatan kepada penyewa bas. Harga minggu depan atau bulan depan mungkin berbeza berbanding harga hari ini.
“Sehubungan itu, pengusaha bas persiaran meminta kerajaan memberikan subsidi diesel kepada kami, sama seperti yang diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan juga bas sekolah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Thiagarajan berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan membantu memastikan pengusaha bas persiaran dapat kekal beroperasi sepanjang tempoh waktu mencabar, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan ekonomi khususnya dalam aspek pelancongan dan logistik.
“Tangki minyak bas berbeza mengikut saiz namun anggaran setiap isian boleh mencecah hampir RM1,000 dan kini boleh meningkat sehingga hampir RM2,000 akibat kenaikan harga diesel.
“Apabila harga kos meningkat, jumlah sewaan bas persiaran semakin berkurang menyebabkan pengusaha kekurangan wang untuk membayar ansuran bulanan bas mereka. Ini secara tidak langsung menyebabkan segelintir pengusaha bas terpaksa menjual bas mereka, tetapi pada masa sekarang mana ada pihak mahu beli bas kerana diesel mahal,” katanya.
Ketika ini dianggarkan terdapat antara 2,500 hingga 3,000 pengusaha bas persiaran aktif di seluruh negara, namun jumlah itu berisiko berkurangan jika harga diesel terus meningkat. – UTUSAN










