Langkah wajibkan kenaikan gaji tahunan wajar dikaji - Utusan Malaysia

Langkah wajibkan kenaikan gaji tahunan wajar dikaji

PURATA gaji di Malaysia meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH mewajibkan kenaikan gaji tahunan yang berstruktur sejajar dengan trend inflasi dan produktiviti juga wajar dikaji bagi memastikan pertumbuhan pendapatan yang berterusan, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026.

Laporan berkata, lonjakan dalam kadar gaji semasa semakan semula gaji minimum wajar dipertimbangkan bagi mempercepat pencapaian 45 peratus pampasan pekerja menjelang 2033 seperti aspirasi kerangka Ekonomi Madani.

“Syarikat khususnya yang beroperasi di negeri yang lebih maju juga digalakkan untuk menawarkan gaji minimum yang lebih tinggi berbanding kadar nasional dengan mengambil kira perbezaan kos sara hidup.

“Strategi tersebut akan mewujudkan pasaran buruh yang lebih saksama, produktif dan berdaya tahan dalam memastikan saraan yang adil kepada semua pekerja,” katanya.

Menurut laporan itu, merealisasikan pelaksanaan dasar gaji minimum di Malaysia mempunyai cabaran yang tersendiri seperti kadar pematuhan terutamanya dalam kalangan perniagaan berskala kecil yang sering menghadapi kesukaran untuk membayar gaji lebih tinggi disebabkan kekangan sumber.

Dalam pada itu, laporan berkata, kapasiti yang terhad dalam kalangan agensi penguatkuasaan juga menjadi cabaran dalam menguatkuasakan dan memantau pelaksanaan gaji minimum.

“Berdasarkan laporan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), secara purata sekitar sembilan peratus majikan tidak mematuhi dasar gaji minimum.

“Analisis dalaman juga menunjukkan sekitar 23.4 peratus pertubuhan tidak membayar pekerja berdasarkan kadar semasa gaji minimum dengan 91.3 peratus merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan 8.7 peratus ialah firma besar.

“Sekiranya keadaan ini berlanjutan, pekerja mungkin terus terperangkap dalam keadaan berpendapatan rendah yang seterusnya meningkatkan tekanan kewangan serta mengehadkan keupayaan dalam mendepani kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.

Laporan berkata, dasar gaji minimum telah menunjukkan kemajuan ketara dalam mencapai beberapa objektif utama seperti meningkatkan kuasa beli, mengukuhkan jaringan keselamatan bagi pekerja yang bergaji rendah dan mengekalkan daya saing perniagaan.

“Walau bagaimanapun, dasar ini memberikan kesan yang minimum dalam meningkatkan penggunaan automasi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

“Situasi ini berlaku kerana kadar semakan semula gaji minimum tidak cukup menarik kepada pekerja tempatan khususnya dalam industri berorientasikan buruh.

“Justeru, pendekatan lebih komprehensif yang menyepadukan dasar gaji dengan pembaharuan pasaran buruh secara lebih menyeluruh penting demi merealisasikan aspirasi kerangka Ekonomi Madani seterusnya melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN