PETALING JAYA: Wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan mengapa tiada sebarang pengumuman berkaitan cukai rokok elektronik atau vape dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, perkara tersebut amat mengejutkan kerana Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini telah mencadangkan kadar cukai vape dinaikkan daripada RM0.40 kepada RM4 setiap mililiter, namun cadangan tersebut langsung tidak disentuh dalam belanjawan semalam.
“Saya amat hairan apabila tiada langsung sebarang pengumuman mengenai cukai vape dalam Belanjawan 2026, sedangkan Timbalan Menteri Kesihatan sendiri sebelum ini memaklumkan di Parlimen KKM telah mencadangkan kenaikan cukai vape,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Saiful berkata, kerajaan seharusnya melaksanakan cukai dan penetapan harga minimum sebagai langkah awal sekiranya benar-benar serius mahu melaksanakan pengharaman penggunaan vape secara berperingkat.
Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud percanggahan dasar antara Kementerian Kewangan dan KKM apabila cadangan rasmi daripada KKM tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
“Saya faham proses pengharaman memerlukan masa, namun pelaksanaan cukai dan penetapan harga minimum boleh dilakukan serta-merta bagi mengurangkan daya tarikan terhadap produk ini.
“Mengapa kerajaan tidak berani melaksanakan cadangan yang diumumkan oleh KKM sendiri? Adakah terdapat percanggahan dasar antara kementerian dan perbendaharaan?” soalnya.
Tambah beliau, kegagalan menetapkan cukai setara dan ketiadaan harga minimum menyebabkan produk vape kekal jauh lebih murah berbanding rokok konvensional sekali gus terus menarik minat golongan remaja.
“Tanpa kesaksamaan cukai dan harga minimum yang munasabah, vape akan kekal jauh lebih murah daripada rokok, menjadikannya pilihan utama dalam kalangan remaja. Situasi ini jelas bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk mengawal dan akhirnya mengharamkan produk tersebut,” katanya.
Wan Saiful turut menggariskan tiga langkah utama perlu diambil kerajaan bagi mengawal penggunaan vape secara lebih berkesan iaitu melaksanakan cukai setara dengan produk nikotin lain, menetapkan harga minimum sekurang-kurangnya RM12 serta memperkukuh penguatkuasaan Akta 852 bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kepada individu bawah umur.
“Pengharaman vape perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelak kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal.
“Tanpa kejelasan dasar dan tindakan tegas, Belanjawan ini dilihat tidak konsisten dan gagal menangani isu vape secara menyeluruh. Kerajaan tidak boleh sekadar bercakap mengenai pengharaman sedangkan langkah kawalan asas pun enggan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










