PETALING JAYA: I-Berhad pemaju induk i-City – Bandar Digital No.1 Malaysia, mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 dengan mencatatkan keuntungan suku tahunan tertinggi sebelum cukai sebanyak (“PBT”) RM26.8 juta.
Pencapaian rekod pendapatan ini membuktikan momentum operasi Kumpulan yang kukuh dan pelaksanaan strategik yang berdisiplin.
Bagi Suku 3 TK2025, I-Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM81.3 juta dan PBT sebanyak RM26.8 juta. Ini menandakan satu lonjakan 74% tahun ke tahun berbanding RM15.4 juta dalam PBT setahun sebelumnya.
Prestasi cemerlang ini didorong oleh sumbangan besar daripada segmen Pembangunan Hartanah dan Pelaburan Hartanah, pengurusan kos yang berhemat, dan kejayaan pemulihan semula dana (yang tidak lagi diperlukan) selepas penyelesaian beberapa fasa projek yang penting.
Segmen Pembangunan Hartanah kekal sebagai pemacu pendapatan utama, merekodkan hasil RM42.1 juta, peningkatan sebanyak 51 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pengebilan progresif daripada BeCentral Serviced Residences, di samping momentum jualan yang memberangsangkan dalam i-City dan 8 Kia Peng.
Keuntungan segmen sebelum cukai meningkat lebih dua kali ganda kepada RM16.1 juta, berbanding RM5.9 juta pada S3TK2024.
Segmen Pelaburan Hartanah mencatatkan satu lagi suku yang mantap, menyumbang RM6.8 juta dalam hasil dan RM5.3 juta dalam keuntungan sebelum cukai, peningkatan 40% tahun ke tahun.
Pertumbuhan ini dipacu oleh pendapatan sewa yang stabil daripada Mercu Maybank, pusat data Kumpulan dan aset tempat letak kereta di i-City, serta pendapatan yang lebih tinggi daripada Central i-City Mall.
Sementara itu, segmen Riadah dan Hospitaliti mengekalkan trajektori menaiknya dengan hasil RM31.8 juta, peningkatan 16 peratus tahun ke tahun, didorong oleh jumlah pengunjung yang ramai semasa tempoh percutian.
Segmen itu melaporkan PBT sebanyak RM6.2 juta, sedikit rendah berbanding tahun lepas disebabkan peruntukan susut nilai yang lebih tinggi berikutan pengenalan tarikan baru yang diperkenalkan di tarikan i-City.
Secara kumulatif, bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (“9MFY2025”), I-Berhad mencapai jumlah pendapatan RM205.6 juta PBT sebanyak RM53.4 juta, mencerminkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 30 peratus dan 96 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2024.
“Rekod keuntungan sebelum cukai ini menandakan pencapaian penting bagi I-Berhad, menyerlahkan kekuatan transformasi strategik kami menjadi platform pertumbuhan berbilang enjin yang berdaya tahan.
“Ia mencerminkan bukan sahaja kejayaan pembangunan berterusan kami tetapi juga kedalaman dan kematangan asas pendapatan berulang kami,” kata Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong.
Beliau menambah bahawa dengan baki nilai pembangunan kasar (“GDV”) kira-kira RM5 bilion akan direalisasikan dalam i-City – Bandar Digital No. 1 Malaysia – Kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan keterlihatan pendapatan dan menyampaikan penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham.
“Strategi kami berpaksikan pada mengekalkan portfolio yang seimbang dan bersinergi merentasi pembangunan hartanah, pelaburan dan aset masa lapang sambil terus mengembangkan pendapatan berulang.
“Pada masa yang sama, kami sedang mempersiapkan i-City melalui AI dan Robotik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai perbandaran yang dipacu teknologi terkemuka di Malaysia,” katanya.
Kim Hong berkata, strategi pertumbuhan yang diterajui teknologi Kumpulan, yang diterajui oleh AI World – presint bandar pertama yang didayakan AI di Malaysia – menandakan babak seterusnya dalam evolusi i-City.
“AI World akan memangkinkan fasa pertumbuhan seterusnya dengan menyepadukan infrastruktur pintar, platform digital dan pengalaman hidup. Ia meletakkan i-City sebagai penanda aras nasional untuk ekosistem bandar yang pintar dan bersambung yang direka untuk era AI,” katanya.
Beliau menambah bahawa rancangan I-Berhad untuk melancarkan Robotics-as-a-Service (“RaaS”) merentasi portfolio hartanah pelaburan bernilai RM1 bilion Kumpulan menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam kecemerlangan operasi dan inovasi perkhidmatan.
“Dengan memasukkan automasi dan robotik dipacu AI ke dalam operasi kami, kami menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman pengguna, mengoptimumkan kecekapan aset dan membuka kunci aliran hasil baharu melangkaui kitaran hartanah tradisional. Inisiatif yang berpandangan ke hadapan ini mengukuhkan komitmen kami terhadap pertumbuhan yang mampan dan nilai pemegang saham jangka panjang.”
Memandang ke hadapan, Kim Hong melahirkan keyakinan bahawa asas kukuh dan hala tuju strategik I-Berhad akan terus memacu pertumbuhan yang mampan.
“Trajektori pertumbuhan Kumpulan kekal disokong oleh pengembangan ekonomi Malaysia yang mantap dan inisiatif kerajaan yang menyokong di bawah Bajet 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (“MP13”).
“Rancangan kami untuk memiliki baki RM 5 bilion GDV melalui AI dan Robotik akan memastikan penciptaan nilai yang konsisten, yang mengubah i-City menjadi bandar destinasi bertaraf dunia dan tercanggih,” katanya. – UTUSAN










