PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil melebihi RM4,400 satu tan hingga hujung tahun ini berikutan ketidaktentuan bekalan minyak sawit dan minyak soya global serta spekulasi berterusan terhadap pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 102,000 tan atau 7.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.42 juta tan pada September, dipacu permintaan kukuh dari Asia Selatan terutamanya India yang mengimport 312,000 tan, paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan.
“Negara-negara lain termasuk Sub-Sahara Afrika, Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), benua Amerika serta Asia Tengah turut mencatat peningkatan import minyak sawit dari Malaysia, walaupun eksport ke EU27 dan Asia Pasifik sedikit merosot.
“Pada masa sama, stok minyak sawit negara meningkat kepada 2.36 juta tan, tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun berikutan penggunaan domestik yang kembali normal antara 300,000 hingga 350,000 tan sebulan selepas mencatat paras rekod 499,000 tan pada Ogos lalu.
“Dalam pasaran global, minyak sawit kini diniagakan pada premium berbanding minyak soya, dengan harga pertengahan Oktober mencatat perbezaan AS$42 setan lebih tinggi di Eropah dan AS$26 lebih tinggi di India,” demikian menurut kenyataan.
MPOC menjangkakan harga MSM akan terus disokong oleh langkah Indonesia yang berpotensi melaksanakan mandat biodiesel B50, yang dijangka memerlukan 17 juta tan minyak sawit untuk campuran bahan api, meningkat tiga juta tan berbanding dasar B40 ketika ini.
“Jika B50 dilaksanakan sepenuhnya, hanya sekitar 22 juta tan minyak sawit Indonesia akan tersedia untuk eksport, berbanding purata 24 hingga 28 juta tan setahun sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, bekalan minyak soya global dijangka berkurangan apabila eksport dari Amerika Syarikat (AS) dan Brazil menurun 41 peratus kepada 1.6 juta tan pada musim 2025/2026 akibat peningkatan penggunaan domestik untuk biofuel.
Harga minyak bunga matahari juga kekal tinggi dengan paras dagangan pertengahan Oktober di Eropah mencecah AS$1,360 per tan, kira-kira AS$75 lebih mahal daripada minyak sawit, disebabkan bekalan yang ketat dari rantau Laut Hitam.
Selain itu, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat–China turut memberi kesan kepada pasaran apabila China menghentikan import kacang soya dari AS sejak Mei lalu, sekali gus menyebabkan peningkatan stok soya di negara itu.
Walaupun permintaan domestik di bawah dasar biofuel 45Z Amerika dijangka meningkat tahun depan, ia tidak mencukupi untuk menampung kejatuhan eksport ke China. – UTUSAN