PETALING JAYA: Semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan kira-kira 5.1 juta pelajar di seluruh negara ditangguhkan sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Kementerian Pendidikan berkata, langkah itu adalah antara pendekatan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan apabila sesi persekolahan dibuka selepas berakhir cuti penggal satu pada minggu depan.
Menurut kementerian, keadaan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan ketika ini memerlukan perhatian serius semua pihak, khususnya pentadbiran sekolah.
Selain itu katanya, murid dan guru diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian sukan yang sopan berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi pendidikan masing-masing.
“Semua pentadbiran sekolah diminta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Malah mereka hendaklah sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beberapa negeri khususnya di utara Semenanjung Malaysia berdepan suhu panas melampau dengan bacaan harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius dalam minggu ini.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4 petang semalam, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling berada pada tahap dua iaitu gelombang haba.
Sebanyak 18 kawasan lain pula berada pada tahap satu atau berjaga-jaga, sekali gus menunjukkan fenomena cuaca panas masih berterusan di beberapa lokasi.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pendidikan menegaskan, kepentingan memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di semua institusi pendidikan termasuk 7,773 sekolah rendah.
Katanya, murid juga digalakkan membawa air minuman sendiri ke sekolah sebagai langkah tambahan bagi mengelakkan dehidrasi.
“Pihak sekolah perlu menasihati dan menggalakkan murid mengambil air dalam kuantiti yang mencukupi bagi membantu mengawal suhu badan,” katanya.
Bagi pelajar asrama, bekalan air minuman akan disediakan secukupnya terutama sekiranya keadaan menjadi kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air bersih.
Kementerian Pendidikan turut menegaskan semua institusi pendidikan perlu peka terhadap perkembangan semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut kementerian itu, aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang diambil.
“Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan dalam memastikan kesejahteraan murid terus terpelihara, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca panas dan kering,” katanya.
Pada masa ini, semua pelajar sedang menikmati cuti penggal pertama yang memberi ruang kepada mereka berehat sebelum sesi persekolahan disambung semula di samping bersempena sambutan Aidilfitri.
Bagi negeri Kumpulan A, cuti penggal berlangsung selama sembilan hari bermula 19 hingga 28 Mac, manakala negeri Kumpulan B pula menikmati cuti tambahan selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Mac.
Menurut Kalendar Akademik 2026, negeri dalam Kumpulan A yang merangkumi Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B melibatkan Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.-UTUSAN










