Jobstreet perkenal sistem pengambilan pekerja dipacu AI - Utusan Malaysia

Jobstreet perkenal sistem pengambilan pekerja dipacu AI

JOBSTREET by SEEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jobstreet by SEEK melancarkan pendekatan pengambilan pekerja baharu di seluruh negara bagi mempercepatkan akses majikan kepada bakat berkualiti serta meningkatkan pulangan pelaburan pengambilan pekerja dalam pasaran buruh yang semakin kompetitif.

Langkah ini diperkenalkan susulan penurunan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus pada November 2025, yang menandakan pasaran kerja yang kuat namun mencabar dari segi persaingan mendapatkan calon yang tepat.

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, majikan kini memerlukan isyarat yang lebih pantas dan risiko yang lebih rendah untuk berurusan dalam pasaran ketika bakat semakin sukar dicari.

“Pendekatan di seluruh negara ini mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan kualiti padanan serta menyokong majikan dan calon melalui perjalanan pengambilan pekerja yang lebih cekap dan telus,” katanya dalam kenyataan.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan dalam pendekatan ini termasuk kebenaran kepada majikan untuk menyiarkan semua iklan jawatan secara percuma bagi mengurangkan halangan kos dan memberikan fleksibiliti kepada perniagaan. 

Proses ini diperkukuh dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan cerapan prestasi ramalan bagi membantu majikan mendekati calon yang paling sesuai dengan lebih cekap. 

Selain itu, Jobstreet turut memperkenalkan ciri pengesahan kredibiliti untuk identiti dan sejarah kerja calon bagi memendekkan garis masa pengambilan serta meningkatkan keyakinan majikan semasa proses senarai pendek.

Bagi memastikan kelancaran pada fasa akhir pengambilan, sistem semakan rujukan digital yang disokong AI turut diperkenalkan bagi memudahkan pemberi rujukan memberikan maklum balas secara berstruktur dan konsisten tanpa kelewatan manual. 

Bagi pihak calon pula, inisiatif ini menawarkan padanan kerja yang lebih tepat berdasarkan kemahiran dan pengalaman melalui algoritma AI, sekali gus memastikan perjalanan pencarian kerja yang lebih telus dan pantas. 

Tambahnya, dengan mengurangkan geseran dalam proses pengambilan pekerja, Jobstreet berharap dapat menyokong ekosistem pekerjaan Malaysia yang lebih mampan merentas pelbagai industri dan wilayah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×