Harga emas melantun semula daripada paras terendah empat bulan - Utusan Malaysia

Harga emas melantun semula daripada paras terendah empat bulan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas dunia melantun semula daripada paras terendah empat bulan semalam, didorong penurunan harga minyak susulan laporan bahawa Washington sedang mengusahakan cadangan untuk menamatkan konflik di Asia Barat.

Pada pukul 5.02 petang semalam, emas didagangkan pada AS$4,563.20 seauns atau RM580 segram, meningkat berbanding penurunan 3.66 peratus kepada AS$4,402 seauns (RM560 segram) pada Isnin.

Walau bagaimanapun, harga emas kekal kira-kira 17 peratus di bawah paras tertingginya pada akhir Januari.

Ini susulan harga minyak mentah Brent yang susut empat peratus kepada sekitar AS$100 (RM394.91) setong manakala West Texas Intermediate (WTI) turun kepada sekitar AS$89 (RM351.47) setong.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tekanan ke atas harga emas ketika ini bersifat sementara dan lebih dipacu oleh faktor kecairan global berbanding kelemahan asas

Ujarnya, pergerakan besar harga emas mungkin disebabkan ada pemegang aset yang besar telah menjual simpanan emasnya dengan jumlah yang tinggi, kemungkinan untuk persediaan menghadapi jangkaan krisis geopolitik.

“Ia juga disokong oleh pengukuhan nilai mata wang dolar AS yang memperlihatkan perubahan portfolio tersebut.

“Namun penurunan harga emas ini adalah dalam waktu terdekat dan akan kembali mengukuh dalam masa jangka masa sederhana kerana emas masih lagi menjadi aset yang selamat setiap krisis melanda dunia.

“Selain dari itu faktor Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dijangka menaikkan kadar faedah sekiranya peperangan berterusan dan kadar inflasi meningkat di AS menjadikan bon-bon terbitan perbendaharaan AS mempunyai pulangan bunga yang tinggi berbanding dengan menyimpan dalam bentuk emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, komen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memutuskan untuk menarik diri daripada ancamannya baru-baru ini untuk mengarahkan mogok ke atas infrastruktur tenaga Iran mencetuskan kejatuhan harga minyak mentah dan lonjakan harga emas.

Namun begitu, Goldman mengekalkan tinjauan menaik secara struktural, meramalkan emas akan mencecah AS$5,400 seauns atau RM685.57 segram seauns menjelang akhir tahun, disokong oleh pembelian bank pusat yang berterusan apabila negara-negara berusaha untuk mempelbagaikan aset dengan risiko geopolitik dan kewangan yang lebih rendah.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan harga emas bersifat sementara disebabkan kenaikan yang mendadak sebelum ini telah mewujudkan peluang bagi pedagang dan pelabur untuk menjual dan merealisasikan keuntungan mereka.

“Sifat emas yang begitu berharga berbanding bon-bon kerajaan terutamanya bon yang diterbitkan oleh kerajaan AS masih tetap mengungguli permintaan dalam kalangan para pelabur.

“Justeru, kejatuhan ini merupakan suatu fasa pembetulan dan telah mewujudkan bagi para pelabur untuk mula membeli emas ini.

“Permintaan daripada para pelabur dana dagangan bursa (ETF) dan bank-bank pusat global yang kekal tinggi jelas menandakan emas sebagai instrumen pelaburan yang mampu memainkan peranan pelindung nilai pelaburan,” ujarnya.

Menurut BIMB Securities pula, dari sudut kitaran, pasaran emas kini dilihat berada dalam fasa pertama, iaitu kejutan inflasi yang menyebabkan hasil meningkat dan menekan harga.

“Fasa kedua dijangka berlaku apabila pertumbuhan ekonomi mula perlahan, yang akan membawa kepada penurunan hasil dan seterusnya menyokong kenaikan harga emas.

“Apabila hasil sebenar mencapai kemuncak, harga emas berpotensi meningkat dengan ketara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×