Ekonomi ASEAN-5 catat pertumbuhan 4.1 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi ASEAN-5 catat pertumbuhan 4.1 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI ASEAN-5 yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menunjukkan daya tahan kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.1 peratus pada separuh pertama tahun 2025, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Global.

Pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan eksport, meskipun momentum ekonomi domestik dilihat sederhana berikutan pelaburan yang rendah terutamanya di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Walaupun begitu, sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan rantau ini, manakala prestasi sektor perindustrian menunjukkan pola bercampur susulan cabaran permintaan global dan peningkatan kos pengeluaran.

Mengulas lanjut, laporan itu berkata, dalam masa sama, inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus, disokong oleh pelaksanaan dasar monetari yang berhati-hati oleh bank pusat negara anggota.

“Keadaan pasaran buruh turut menunjukkan pemulihan kukuh dengan kadar pengangguran di kebanyakan negara Asia Tenggara kembali ke paras prapandemik.

“Namun begitu, prospek ekonomi serantau masih berdepan cabaran luaran, khususnya kebergantungan ASEAN terhadap permintaan global serta integrasi mendalam ke dalam rantaian nilai antarabangsa.

“Faktor ini berpotensi memberi kesan kepada prestasi perdagangan dan aliran pelaburan, terutama jika ketidaktentuan geopolitik dan tekanan harga komoditi global berterusan,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, katanya, pertumbuhan ASEAN-5 dijangka akan berterusan pada tahun 2026, diperkukuh oleh pelaburan infrastruktur dan pengembangan sektor perkhidmatan, selain disokong oleh kadar inflasi dan pengangguran yang kekal terkawal.

“Bagaimanapun, ekonomi ASEAN-5 turut berdepan risiko luaran yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan, termasuk ketegangan perdagangan global, ketidaktentuan harga komoditi, kejadian berkaitan iklim serta ketidakpastian politik yang boleh mempengaruhi aliran perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN