PETALING JAYA: Dassault Systèmes menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan INVEST Sarawak, sebuah agensi promosi pelaburan berkaitan kerajaan di Malaysia, bagi meneroka kerjasama yang menyokong transformasi Sarawak menjadi ekonomi yang dipacu inovasi dan mampan.
Kerjasama ini akan menggunakan platform 3DEXPERIENCE Dassault Systèmes serta kepakaran dalam transformasi digital.
Perjanjian ini menyatukan kepimpinan global Dassault Systèmes dalam teknologi ‘kembar maya’ (virtual twin) dengan mandat INVEST Sarawak untuk menarik dan memudah cara pelaburan berimpak tinggi ke dalam negeri.
Perjanjian ini menandakan cita-cita bersama untuk menjana nilai jangka panjang yang mampan untuk industri utama, tenaga kerja, dan komuniti Sarawak melalui pembangunan yang didorong oleh inovasi.
Fokus utama kerjasama ini adalah penubuhan Makmal Inovasi di Sarawak, yang dijangka menjadi platform strategik untuk memupuk inovasi, pembangunan ekosistem, dan kerjasama antara sektor.
Makmal ini akan menyokong industri strategik dan memupuk perkongsian merentasi sektor kerajaan, akademik, dan swasta.
Kerjasama ini turut merangkumi rancangan untuk menubuhkan Pusat Latihan Industri bagi membangunkan tenaga kerja Sarawak yang bersedia untuk masa depan.
Program-program yang ditawarkan akan menumpukan pada peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (reskilling) profesional, selain memperkasakan para pendidik dan institusi untuk menyediakan latihan teknikal berkualiti tinggi yang selaras dengan standard global.
Perancangan Bandar Pintar dan Pembangunan Mampan dalam bidang perancangan bandar pintar dan perbandaran, kedua-dua pihak akan meneroka aplikasi teknologi digital canggih Dassault Systèmes, termasuk ‘kembar maya’ dan aplikasi dipacu data.
Ini membolehkan pembangunan yang lebih cekap, inklusif, dan mampan, selari dengan aspirasi bandar pintar Sarawak yang lebih luas.
“Kerjasama ini mewakili satu mercu tanda utama dalam perjalanan transformasi Sarawak. Dengan kepakaran Dassault Systèmes, kita mempunyai peluang untuk memacu inovasi merentasi sektor, mengukuhkan saluran bakat kita melalui program peningkatan dan latihan kemahiran semula, dan meneroka penyelesaian canggih seperti teknologi ‘kembar maya’ untuk perancangan bandar yang lebih pintar dan didorong data. Kami berharap untuk bekerjasama bagi menjana nilai jangka panjang untuk industri dan komuniti kami,” kata Timothy Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, INVEST Sarawak.
“Kolaborasi kami dengan INVEST Sarawak menyokong cita-cita negeri untuk menjadi ekonomi yang diperkasa secara digital dan dipacu inovasi. Dengan menggabungkan platform 3DEXPERIENCE kami dengan matlamat strategik negeri, kami berhasrat untuk memupuk ekosistem yang dinamik—bermula daripada inkubasi syarikat pemula dan penyelidikan akademik, sehinggalah kepada kerjasama industri dan pembangunan bakat—demi pertumbuhan mampan merentasi semua sektor,” ujar Samson Khaou, Naib Presiden Eksekutif, Asia Pasifik, Dassault Systèmes.
Perjanjian sulung antara Dassault Systèmes dan INVEST Sarawak ini menandakan permulaan perkongsian yang kukuh, dengan projek rintis dan penglibatan pihak berkepentingan dijangka dalam beberapa bulan akan datang. – UTUSAN











