KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] melancarkan Dana Iklim+, dana pelaburan tertumpu iklim pertama Malaysia dengan penggunaan sasaran sebanyak RM2 bilion.
Dana itu menyasarkan untuk mempercepatkan peralihan Malaysia kepada sifar bersih dengan menyalurkan modal institusi ke arah pelaburan tertumpu iklim merentasi infrastruktur, ekuiti persendirian, hartanah dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana tersebut menawarkan dana permulaan terhadap apa-apa sahaja aktiviti yang mendorong kepada penurunan pelepasan karbon.
Beliau yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, inisiatif tersebut juga membantu negara untuk mendapatkan asal teknologi dan asas asli untuk membantu negara mengurangkan pelepasan karbon serta menguruskan perubahan klimak.
“Pemberian dana RM2 bilion adalah berbentuk ‘revolving’ (pusingan) iaitu syarikat mendapatkan dana kemudian membayar ia semula. Ia sama seperti bon hijau yang orang boleh langgan dan kali ini KWAP memberi dana.
“Bagaimanapun, dana ini tidak akan diberikan begitu sahaja. Syarikat mesti ada idea yang hari nanti produk itu dapat menjana kewangan yang boleh dijual kepada semua syarikat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan tersebut.
Majlis diadakan bersempena pelancaran rasmi Pameran dan Persidangan Produk Hijau & Eko Antarabangsa Malaysia 2025 (IGEM 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, Akta Perubahan Iklim yang akan diperkenalkan kelak akan mewajibkan semua industri mematuhi had pelepasan tertentu, sekali gus menggalakkan pihak industri yang mencemar supaya melaksanakan amalan lebih hijau atau berdepan langkah fiskal tertentu.
Beliau berkata, teknologi yang dibina tersebut boleh mencipta banyak pulangan dan mengambil contoh penghutanan semula yang boleh oleh banyak syarikat yang kemudiannya dapat ditukar kepada kredit karbon.
Jelasnya, pasaran kredit karbon di Malaysia ketika ini diniagakan antara AS$3 (RM12.6) hingga AS$20 (RM84.56) setan, namun penanda aras antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan nilainya antara AS$50 (RM211.41) hingga AS$150 (RM634.23) satu tan, menunjukkan potensi pertumbuhan yang tinggi.
“Dengan pelaksanaan yang betul, Bursa Malaysia berpotensi menjadi hab dagangan karbon serantau, sepertimana peranannya dalam pasaran minyak sawit.
“Kalau kita buat dengan betul, Bursa Malaysia boleh menjadi juara serantau bagi dagangan kredit karbon dan elaun karbon,” ujarnya- UTUSAN