Bermula dari minat, Jiha kini jadi pengusaha kit batik

Bermula dari minat, Jiha kini jadi pengusaha kit batik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka bermula dengan minat mendalam dalam penghasilan seni dan kraftangan sejak kecil telah mendorong seorang gadis dari Kampung Dato’ Sheikh Ahmad, Beseri, Padang Besar meraih pendapatan sendiri menerusi penghasilan kit batik. 

Nurnajihah Rohidi, 25, menghasilkan kit batik itu untuk dipasarkan buat orang ramai khususnya mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman mewarna di rumah. 

Kit batik kebiasan digunakan bagi aktiviti riadah khususnya dalam membantu memberi pendedahan buat kanak-kanak mendalami teknik asas penghasilan seni batik seperti cantingan dan mewarna.

Berikutan permintaan begitu memberangsangkan, Nurnajihah telah mengambil peluang bagi meneroka bidang penghasilan kit batik itu secara lebih serius dan dijadikan sebagai sumber pendapatannya. 

 

Nurnajihah atau lebih mesra dikenali sebagai Jiha berkata, dia sememangnya meminati penghasilan kraftangan sejak dari bangku sekolah lagi malah turut memilih jurusan seni bagi mendalami bidang itu. 

“Sejak dari kecil saya memang suka bidang seni dan amat gemar melakukan aktiviti seperti melukis mahu pun mewarna,” katanya ketika ditemui di bengkel batik bersebelahan rumahnya, di sini, baru-baru ini. 

Menceritakan lanjut, Nurnajihah berkata, selepas tamat persekolahan, dia telah melanjutkan pelajaran ke Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, bagi mengikuti pengajian Program Diploma Seni Kraf Batik selama tiga tahun. 

 

Sepanjang belajar di sana, Nurnajihah berkata, dia telah mendalami pelbagai teknik seni batik antaranya seperti mencanting, campuran warna, aplikasi grafik komputer dan asas perniagaan.

“Selepas tamat pengajian, saya memilih untuk tidak bekerja dengan mana-mana syarikat dan membuat keputusan memulakan perniagaan sendiri.

“Saya mulakan perniagaan ini dengan modal hanya RM1,000 bagi menghasilkan baju ikat celup untuk dipasarkan dan kemudiannya saya cuba keluarkan barangan lain seperti stokin dan topi.

“Selepas itu, saya kembangkan lagi perusahaan ini dengan menghasilkan kit batik ini dan Alhamdulillah penerimaannya amat baik,” katanya. 

 

Nurnajihah berkata, dia turut memilih memasarkan kit batik itu pada harga berpatutan iaitu RM5 bagi saiz kecil dan RM10 untuk saiz besar. 

Anak kedua dari empat beradik ini berkata, dalam masa sebulan, dia juga mampu memasarkan sebanyak 2,000 hingga 3,000 kit batik bagi memenuhi permintaan dari seluruh Malaysia. 

“Setakat ini, terdapat banyak institusi termasuk tadika, sekolah, jabatan kerajaan dan swasta telah berminat bagi membeli kit batik yang dihasilkan oleh saya.

“Permintaan kit batik itu amat menggalakkan terutama dari sekolah dan institusi pendidikan yang ingin menjalankan aktiviti seni atau kraftangan,” katanya. 

Selain memasarkan kit berkenaan, Nurnajihah berkata, dia turut mengeluarkan tudung jenis shawl dan bawal dengan bermotifkan seni batik bagi mempelbagaikan lagi produk penghasilannya. 

Sebagai usahawan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Nurnajihah memaklumkan, dia juga kerap menerima undangan bagi mengikuti beberapa pameran antaranya seperti Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK). 

“Pameran yang disertai ini membolehkan saya meluaskan lagi pasaran produk selain memanfaatkan platform media sosial sedia ada di bawah nama Gieya Batik yang tidak perlu menggunakan modal besar. 

“Dalam masa sama, saya juga mendapat bimbangan daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis malah turut diberi peluang menggunakan bengkel di kompleks berkenaan,” katanya. 

Di samping itu, Nurnajihah berkata, sepanjang berkecimpung dalam bidang itu, dia sentiasa menerima sokongan kuat daripada ibunya, Azura Khamis serta ayahnya, Rohidi Othman. 

Tambahnya, dia turut berpeluang merasai beberapa kenangan manis sejak menguruskan perusahaan itu antaranya apabila kit batik dihasilkan itu mendapat tempahan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk dijadikan sebagai cendera kenangan ke Qatar. 

“Saya sememangnya amat meminati bidang ini malah turut mempunyai matlamat untuk terus memperkenalkan seni batik ini buat generasi muda agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN