PETALING JAYA:Belanjawan 2026 bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, malah melibatkan pendekatan menyeluruh termasuk peningkatan kapasiti, latihan kemahiran, digitalisasi dan peluasan pasaran eksport.
Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG), Datuk Dr. Azman Yusoff berkata, Belanjawan Madani keempat 2026 amat inklusif dan memberi keutamaan kepada pemerkasaan ekonomi bumiputera secara holistik.
“Kami melihat Belanjawan 2026 sebagai satu belanjawan berjiwa rakyat yang memacu daya tahan ekonomi dan mempunyai hala tuju jangka panjang, khususnya dalam memperkukuh kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara inisiatif utama yang dialu-alukan oleh PENGILANG termasuk RM100 juta untuk Program Penskalaan Usahawan Bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), RM50 juta bagi menaik taraf premis perniagaan MARA, RM500 juta pinjaman mudah melalui EXIM Bank untuk bantu syarikat bumiputera dalam perdagangan antarabangsa.
Selain itu, RM500 juta di bawah Skim Eksport Lonjakan untuk menyokong penembusan pasaran baharu dan RM60 juta menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh MATRADE untuk menyokong penyertaan syarikat dalam pameran dan misi perdagangan antarabangsa.
Menurut Azman, peruntukan tersebut penting bagi memastikan usahawan bumiputera terus berdaya saing dalam era globalisasi serta membuka peluang ke pasaran strategik baharu seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
“Selain itu, sektor perkhidmatan bumiputera turut menerima perhatian apabila HRD Corp diberikan hampir RM3 bilionuntuk program latihan dalam bidang teknologi dan tenaga boleh diperbaharui, sementara GiatMARA akan melatih lebih 13,000 peserta termasuk pekerja ekonomi gig,” katanya.
Dalam sektor pelancongan, peruntukan RM700 juta menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka merancakkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam bidang hospitaliti, makanan dan perkhidmatan pelancongan.
“PENGILANG komited untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan bagi memastikan semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti perniagaan bumiputera,” tambahnya.
Tambahnya, pendekatan kerajaan dalam Belanjawan 2026 memperlihatkan kesungguhan untuk membawa usahawan bumiputera ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan matlamat Dasar Kemampanan dan Kesejahteraan Negara (DKKN) dan agenda pemerkasaan ekonomi rakyat.-UTUSAN