PETALING JAYA: Belanjawan 2026 merupakan belanjawan yang mendokong visi ke arah Malaysia yang lebih saksama dan bersedia menghadapi masa depan dengan meningkatkan taraf hidup rakyat, memacu reformasi ekonomi berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB komited untuk memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif berkaitan di bawah Belanjawan 2026.
“Ini termasuk pelaburan langsung domestik yang lebih besar oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melalui program GEAR-uP, serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung demi masa depan jangka panjang yang lebih terjamin.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan kemajuan ekonomi bukan sahaja mampan, tetapi turut dikongsi bersama, selaras dengan visi kerajaan untuk membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan dan celik kewangan,” katanya dalam kenyataan.
PNB menyokong semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, khususnya reformasi struktur yang berterusan melalui penyeragaman subsidi bersasar dengan penjimatan yang akan dilaburkan semula bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan yang lebih besar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Institusi pelaburan itu juga amat menghargai peruntukan berterusan bagi program Celik MADANI yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan menggalakkan amalan pelaburan yang bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda Malaysia.
“PNB juga menyambut baik peningkatan saiz dana unit amanah, Amanah Saham Bumiputera 3
Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5 bilion unit masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 bilion unit.
“Langkah ini membolehkan semua rakyat Malaysia mengambil langkah bermakna ke arah menjamin masa depan kewangan mereka serta membuka potensi lebih besar untuk penciptaan kekayaan jangka panjang,” katanya.
Penambahan saiz dana ini mengukuhkan komitmen PNB terhadap keterangkuman kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia, termasuk pelabur baharu dan kali pertama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada produk pelaburan ASNB. – UTUSAN