KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui penganjuran Terbuka Malaysia tahun depan bakal berdepan cabaran susulan pembaharuan format baharu diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk peningkatan hadiah wang tunai serta tempoh kejohanan yang lebih panjang.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, walaupun status Terbuka Malaysia sebagai kejohanan World Tour Super 1000 berjaya dikekalkan, implikasi kewangan dan operasi tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, antara cabaran utama ialah kenaikan hadiah wang tunai kepada AS$2 juta(RM 7.85 juta) berbanding AS$1.45 juta (RM5.69 juta) sebelum ini selain keperluan menganjurkan kejohanan selama 11 hari berbanding format lebih singkat sebelum ini.
“Sudah tentu terdapat cabaran baharu, bukan sahaja dari segi hadiah wang tunai tetapi juga kos penganjuran keseluruhan apabila tempoh kejohanan menjadi lebih panjang.
“Namun, BAM melihat kepentingan pembangunan sukan badminton dan pendedahan antarabangsa sebagai keutamaan, terutamanya apabila Terbuka Malaysia kekal sebagai kejohanan Super 1000,” katanya di sini, semalam.
Kenny menjelaskan, status Super 1000 amat penting kerana ia memastikan kehadiran pemain-pemain terbaik dunia berdasarkan peraturan wajib penyertaan BWF, sekali gus mengangkat prestij Malaysia sebagai destinasi utama badminton dunia.
Mengulas kemungkinan kenaikan harga tiket, beliau berkata, BAM masih belum membuat keputusan kerana kalendar rasmi BWF bagi musim hadapan masih belum dimuktamadkan.
“Kami baru menerima pengumuman rasmi dan masih meneliti keseluruhan implikasi. Sebarang keputusan berkaitan harga tiket akan dibuat selepas kajian menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Kenny menegaskan, BAM tidak berorientasikan keuntungan semata-mata, namun aspek kelestarian kewangan perlu diberi perhatian agar penganjuran kejohanan bertaraf dunia tidak membebankan persatuan.
“Penganjuran kejohanan besar memerlukan kos yang sangat tinggi. Kita tidak bercakap soal untung, tetapi ia mesti seimbang dan tidak memufliskan penganjur,” jelasnya.
Sebelum ini, BWF akan memperluas kategori Super 1000 kepada lima kejohanan bermula tahun depan sebagai sebahagian daripada penyusunan semula Jelajah Dunia BWF. – UTUSAN










