PETALING JAYA: Usahawan dan personaliti, Muhammad Asyraf Khalid dilantik sebagai Pengarah Madani Research Centre (MRC) dan berhasrat melahirkan generasi muda berjiwa kepimpinan menerusi platform Madani Future Leaders 500.
Program nasional itu menghimpunkan 500 pelajar terbaik dari seluruh negara untuk dibimbing secara dekat oleh tokoh-tokoh korporat, usahawan dan pemimpin industri sebagai persediaan melahirkan barisan pemimpin masa depan yang bijak.
Muhammad Asyraf berkata, anak muda kini memiliki potensi besar untuk menjadi pemimpin dengan peluang dan bimbingan yang betul.
“Generasi muda hari ini bukan kurang bakat, mereka cuma perlukan ruang untuk berkembang dan dibimbing.
“Justeru, menerusi program ini, peserta akan didedahkan kepada pengalaman dunia sebenar termasuklah bimbingan kepimpinan, kemahiran komunikasi serta pemikiran strategik.
“Saya mahu lihat lahirnya generasi pemimpin yang bukan sekadar bijak tetapi juga berjiwa besar, berempati dan faham tanggungjawab dalam membina negara,” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan tersebut menekankan tanggungjawab Asyraf dalam menguruskan bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam.
Selain fokus kepada kepimpinan belia, Asyraf turut menunjukkan komitmen dalam memperjuangkan hak dan penerimaan kanak-kanak berkeperluan khas termasuk penghidap autisme dan ADHD, menerusi Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas di bawah MRC.
Menurutnya, kanak-kanak istimewa wajar diberi peluang sama rata untuk mencapai potensi mereka dan tidak seharusnya dilihat sebagai golongan pinggiran.
“Saya percaya masyarakat Madani yang sejati ialah masyarakat yang menyantuni semua golongan, termasuk anak-anak istimewa. Mereka bukan sahaja perlu diterima, tetapi diraikan sebagai sebahagian daripada kekuatan dan warna kemanusiaan negara,” katanya.
Pelaksanaan ini akan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran awam, penambahbaikan dasar kerajaan dan pembangunan sokongan komuniti agar kanak-kanak keperluan khas lebih diterima dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.
“Kita perlu ubah cara masyarakat melihat mereka kerana setiap anak mempunyai peluang untuk membina masa depan, tidak kira siapa mereka,” ujarnya. – UTUSAN