ZUS Coffee sasar 1,100 cawangan akhir tahun ini

ZUS Coffee sasar 1,100 cawangan akhir tahun ini

VENON Tian ketika ditemui di satu daripada cawangan ZUS Coffee baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jenama kopi tempatan, ZUS Coffee menyasarkan  1,100 cawangan menjelang akhir tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara rangkaian minuman berasaskan kopi yang paling pesat berkembang di rantau ini.

Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian berkata,  sejak ditubuhkan pada penghujung 2019, ZUS Coffee telah membuka lebih 900 cawangan merentasi empat negara.  

“Kami tidak mahu terburu-buru. Setiap negara ada cabaran operasinya.

“Sasaran kami adalah untuk mencapai sekitar 1,100 cawangan menjelang akhir 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Katanya, pertumbuhan agresif ini mencerminkan strategi pengembangan berskala besar syarikat dalam memenuhi permintaan pasaran kopi yang semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan pengguna muda dan celik digital.

“ZUS Coffee terus berkembang kepada 60 cawangan pada 2021, sebelum meningkat kepada 180 pada 2022 dan 360 cawangan pada penghujung 2023,” katanya.

Sehingga September 2025, ZUS Coffee mempunyai 800 cawangan di Malaysia.  

Venon berkata, pihaknya kini menyasarkan untuk mencapai 850 cawangan dalam negara menjelang hujung tahun serta 220 cawangan di Filipina yang kini menjadi pasaran kedua terbesar selepas Malaysia. 

“Lonjakan pertumbuhan ZUS Coffee turut disokong oleh kemasukan pelaburan strategik, terutamanya daripada pelabur luar negara.  

“Pada 2023, ZUS Coffee menerima pelaburan dari Filipina, yang membuka ruang kepada pengembangan pantas di negara tersebut. 

“Kami memulakan dengan lima cawangan di Filipina pada suku keempat 2023 dan kini telah melepasi 140 cawangan dalam masa kurang 18 bulan,” katanya. 

ZUS Coffee kini merupakan antara rangkaian kopi dengan pertumbuhan terpantas di Asia Tenggara, dengan kehadiran di Malaysia, Filipina, Singapura dan Brunei.

Selain Filipina, ZUS Coffee juga telah menembusi pasaran Singapura (tiga cawangan) dan Brunei (empat cawangan), dengan operasi di Brunei dijalankan melalui sistem francais tempatan.

Venon berkata, ZUS Coffee menampilkan pendekatan unik dalam industri kopi dengan model perniagaan berasaskanvolum tinggi dan margin rendah, menjadikan kopi harian lebih mampu milik untuk pengguna.

“Dengan harga americano serendah RM6.90 dan latte sekitar RM10, jenama ini menyasarkan segmen pertengahan  antara kopi RM5 dari kedai serbaneka dan kopi berjenama premium RM10 ke atas.

“Kami percaya kopi adalah satu keperluan harian, bukan kemewahan. Kami bukan sekadar perniagaan makanan dan minuman (F&B), tetapi lebih kepada model e-dagang daripada atas talian kepada offline,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN