PETALING JAYA: S P Setia Berhad melantik Datuk Yuslina Mohd Yunus sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Tan Hwa Min sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif baharunya masing-masing berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025 dan 17 November 2025.
Pemaju hartanah itu dalam kenyataan berkata, pelantikan tersebut susulan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa 1 Oktober 2025.
Katanya, pelantikan ini selaras dengan agenda bakat kepimpinan yang kukuh daripada Setia dengan memajukan bakat dalaman dan menarik profesional berkaliber tinggi dari luar untuk memperkukuhkan lagi pasukan kepimpinannya.
Setia berkata, Yuslina yang sebelum ini dari Kumpulan I & P telah menyertai Setia pada tahun 2018 dan kini merupakan Naib Presiden Eksekutif Kanan Setia.

Dalam pada itu, Hwa Min mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembangunan hartanah dan transformasi strategik.
Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi di IJM Corporation Bhd. dan Pengarah Urusan di IJM RE Sdn. Bhd.
Pengerusi Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, pelantikan ini menekankan komitmen Setia dalam usaha membentuk pasukan kepimpinan yang bersedia untuk masa depan.
“Kehadiran profesional yang cemerlang dengan perspektif baharu dan wawasan strategik serta gandingan dengan bakat dalaman yang berkaliber akan membantu Setia mengukuhkan budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan, lantas memacu evolusi Setia secara berterusan,” katanya.
Pelantikan ini membuktikan komitmen Setia dalam memupuk pemimpin yang berwawasan, meneraju barisan kepimpinan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah yang terkemuka dan progresif. – UTUSAN