KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) berharap UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudi bersikap terbuka menyerahkan sebahagian daripada kerusi disandang mereka kepada parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, tatacara persediaan untuk dua PRN yang bakal menyusul itu belum diputuskan buat masa ini kerana ia bergantung kepada keputusan UMNO dan BN mengenai pengagihan kerusi di kedua-dua negeri itu.
Katanya, kebanyakan kerusi di Melaka dan Johor kini disandang oleh wakil-wakil rakyat BN hasil daripada pergolakan politik yang berlaku semasa PRN sebelum ini.
“Sekarang kalau kita mahu hadapi PRN Melaka dan Johor sebagai satu blok Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi perlu dilakukan yang mana jumlah kerusi diagihkan perlu lebih seimbang dan adil.
“Penggunaan dasar penyandang kerusi juga perlu diketepikan kerana jika ia terus digunakan, ia tidak adil kepada parti-parti lain terutama daripada Pakatan Harapan (PH),” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 2026 di Lundang, di sini hari ini.
Khalid berkata, keputusan sama ada membenarkan situasi penyandang kerusi diteruskan atau Amanah bersama PH mahu menguji pasaran perlu dibuat sebelum berdepan PRN di kedua-dua negeri tersebut sebagaimana sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun semuanya bergantung kepada UMNO dan BN kerana semua keputusan berkaitan hanya boleh dibuat apabila mereka menyatakan pendirian secara jelas.
“Jadi kita mengharapkan, bersesuaian dengan semangat Kerajaan Perpaduan sedia ada di Melaka dan Johor, UMNO dan BN khususnya menunjukkan satu sikap terbuka serta sanggup menyerahkan sebahagian kerusi disandang mereka kepada parti-parti lain.
“Semuanya bergantung kepada keputusan BN dan UMNO berhubung pengagihan kerusi. Bila sudah jelas baru kita buat keputusan sama ada sokong atau test market di tiga atau empat kerusi,” ujarnya. – UTUSAN










