INI memang sukar untuk dihadam tetapi ya, Volvo EX90 Twin Motor Performance ini jauh lebih sedap dari XC90 varian petrol.
Namun begitu, ia bukan bermakna kenderaan elektrik (EV) lebih baik kerana tidak seperti XC90, kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarga premium ini menggunakan platform yang serba baharu.
Sama seperti apa yang dilakukan oleh Mini, varian petrol masih mengekalkan platform yang lama, tetapi diberikan suntikan fizikal untuk menyegarkan paras rupanya.
Platform SPA 2 serba baharu ini hanya khusus untuk EV dan ini membolehkan Volvo memberikan lebih tumpuan kepada kelebihan genre tersebut.
Antaranya ialah dari segi keselesaan – EX90 ini jauh lebih senyap dan lebih lancar berbanding dengan mana-mana varian XC90 petrol. Laju atau perlahan, memang keselesaan EX90 ini mirip kepada sebuah limosin ultra mewah seperti Rolls Royce dan sebagainya.
Ia cukup lancar, jalan raya yang berlubang dan tidak rata terasa seperti sebuah lebuh raya yang baru dilancarkan.
Pecutan juga tegar, hasil dari dua motor elektrik depan dan belakang yang menghasilkan gabungan tenaga 510 hp dan 910 Nm. Volvo mendakwa pecutan 0-100 kilometer sejam (kmsj) boleh dilakukan dalam tempoh 4.9 saat dan penulis tidak akan menidakkannya kerana ia memang terasa pantas.

Kebolehan memecut bukannya bererti ia boleh dibawa berlumba, tetapi dari segi praktikaliti, ia memudahkan pemandu untuk memotong dan juga untuk melarikan diri dari kenderaan-kenderaan besar yang mengacah-acah untuk memintas.
Daya kilas yang tinggi itu pula menjamin kebolehan pendakian tanpa sebarang rasa mengah. Biarpun sarat dengan penumpang, pendakian ke Genting Highlands cukup mudah.
Kelajuan maksimum untuk EX90 ini adalah sama seperti semua Volvo yang lain, dibataskan kepada 180 kmsj. Tindakan berani Volvo yang menunjukan ia tahu siapa pembelinya kerana tidak ada sesiapa yang merungut.
Untuk perjalanan jauh, bateri 111 kWh dari jenis NCM (Nickel Cobalt Manganese) itu memberikan jarak gerak sejauh 623 km mengikut kiraan WLTP.
Walau bagaimanapun, penulis tidak dapat mencapai jarak tersebut kerana meskipun dicas sehingga 100 peratus, jarak gerak yang diberikan adalah antara 400 ke 500 km. Mungkin perisiannya perlukan satu ‘update’ terkini.
Pengecas terbina pula ialah 11 kW untuk AC, rendah jika dibandingkan dengan pesaingnya dari Jerman. Mungkin Volvo yakin kebanyakan pemiliknya hanya duduk di rumah tinggi.
Pengecas DC pula ialah 250 kW dan mampu mengecas bateri dari 10 ke 80 peratus dalam tempoh 30 minit.
Dari segi luaran, EX90 memang mempunyai garisan reka bentuk yang mirip XC90, cuma ia lebih menarik dan moden.
Bahagian hadapan hanya mempunyai gril di bahagian bawah bamper, sementara lampu hadapan itu terdiri dari lampu LED DRL yang akan ‘terbuka’ untuk memberi laluan kepada lampu utama.
Garisan sendeng dengan logo Volvo di tengah masih wujud walaupun tiada gril di bahagian tersebut. Nampak seperti seseorang sedang terkemam mulut tetapi mungkin ada yang mengatakan ia cantik.
Bahagian sisi menampilkan garisan tradisional XC90 dan menunjukan EX90 ini lebih panjang, walaupun beza antara jarak roda kedua-dua model itu hanyalah satu milimeter (mm).
SUV elektrik ini juga lebih lebar tetapi ia rendah, memberikan bentuk yang lebih sporty.
Namun begitu, EX90 mempunyai ruang but dan tempat duduk barisan ketiga yang lebih kecil. Jangan ditanya kenapa kerana penulis sendiri tidak faham.

Ruang kabin EX90 memang menampilkan konsep Volvo yang cemerlang – ia terasa selesa seperti sedang berehat di ruang tamu rumah mewah.
Tidak ada banyak butang-butang dibekalkan kerana konsep minimalis dipraktikan oleh Volvo untuk kesemua EV mereka. Akibatnya, pengguna yang sedikit matang perlukan masa untuk mempelajari bagaimana untuk mengawal tempat duduk, sistem audio dan macam-macam lagi.
Penulis sempat turun ke Johor Bahru untuk menguji SUV elektrik ini, melalui lebuh raya dan juga laluan persekutuan.
Penggunaan tenaga memang seperti apa yang dijangka oleh EV dari Volvo – efisien. Kecekapan sistem elektrik Volvo ini perlu dipuji kerana walaupun dipandu seperti lagak sebuah jentera berenjin, EX90 masih mampu memberikan pulangan penjimatan tenaga serendah 20.5 kWh/100 km.
Perlu ingat, berat SUV ini hampir 3.4 tan dan penulis tidak begitu jujur dengan halaju kebangsaan.
Volvo elektrik ini juga tidak mempunyai masalah untuk memecut laju dan pada kelajuan tinggi, ia tidak ada isu ‘terapung’. Pemanduan terasa jitu dan meyakinkan, jauh lebih baik dari Mercedes-Benz tetapi tidak sampai ke tahap BMW atau Audi Quattro.
Di kawasan berliku, ia boleh dipandu secara agresif tetapi pemandu akan merasa kecewa kerana bahagian hadapan akan mula hilang cengkaman lebih awal, walaupun ini ialah sebuah model pacuan empat roda AWD.
Dari segi keselesaan, ia jauh meninggalkan pesaingnya. Kabin yang lapang, dengan bumbung kaca panorama yang memberikan rasa luas dan bebas menghasilkan satu suasana yang tenteram.
Corong pendingin hawa wujud untuk semua barisan tempat duduk, membuktikan fokus Volvo kepada kenderaan keluarga tidak pernah luntur.
Sayang sekali ia adalah sebuah EV, bermakna perjalanan jauh memerlukan perancangan yang rapi untuk memastikan bateri cukup cas.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, tetapi jika memang kita sering ke kawasan yang tidak ada stesen pengecas, praktikaliti masih menjadi fokus, bukan? – UTUSAN