SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyertai International Songket Run (ISR) 5.0 anjuran Management and Science University (MSU) bersama 6,000 peserta lain, hari ini.
Baginda berkenan menyertai larian sejauh 2 kilometer (km) selepas mencemar duli melepaskan peserta yang menyertai kategori 5 km.
Penyertaan Tengku Norashikin diiringi oleh Presiden MSU, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid dan Naib Canselor, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid bersama pengurusan kanan lain.
Kemudian, baginda juga berkenan melawat pameran seni tradisional ‘Tenunan Berdaulat:Warisan Songket dan Telepuk’ anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Sains Maklumat (FISE) serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT).
Mohd. Shukri berkata, penganjuran larian songket kali ini adalah untuk mengangkat martabat budaya seni tenun songket di Selangor dan diperkenalkan kepada generasi muda dengan pendekatan moden.
“Kali ini melibatkan penyertaan kira-kira 6,000 peserta merangkumi jarak larian sejauh 5 dan 10 km dengan kampus MSU menjadi lokasi mula dan tamat larian,” katanya.
Selain hadiah kepada pemenang kategori lelaki dan perempuan terbuka dan veteran, kejohanan kali ini turut memperkenalkan kategori baharu pemenang iaitu kategori penyertaan peserta paling muda, penyertaan peserta paling tua, penyertaan paling ramai dalam sesebuah kumpulan dan peserta yang memakai songket paling kreatif.
Pada ISR kali ini, Muhammad Nurammar Mohammad Ikbal dan Iris Alanna Jansen menjadi juara kategori lelaki dan wanita terbuka, dengan mereka membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah RM700.
Bagi Iris Alanna, 16, dia berpuas hati dapat mempertahankan kejuaraan kerana laluan larian kali ini agak mencabar.
“Banyak laluan berbukit pada kali ini. Jadi, terpaksa susun strategi iaitu di lokasi mana saya perlu pecut dan memperlahankan larian,” kata anak jati Melaka itu. – UTUSAN










