BEIJING: Gergasi teknologi China, Alibaba menafikan dakwaan syarikat itu membantu Beijing menyasarkan Amerika Syarikat (AS) sambil menyifatkan laporan media terkini sebagai tidak benar’.
Laporan Financial Times pada Sabtu mendakwa Alibaba menyediakan sokongan teknologi kepada tentera China bagi operasi yang menyasarkan AS, berdasarkan satu memo Rumah Putih yang didakwa diberikan kepada akhbar berkenaan.
Memo itu turut menuduh Alibaba menyerahkan data pelanggan termasuk alamat IP, maklumat WiFi dan rekod pembayaran kepada pihak berkuasa China serta Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Bagaimanapun, jurucakap Alibaba memberitahu AFP semua dakwaan dan tuduhan halus dalam artikel itu adalah palsu sambil menyifatkan memo tersebut sebagai tindakan publisiti jahat oleh pihak tertentu yang mahu menggugat perjanjian perdagangan baharu antara Presiden Donald Trump dan China.
Pertikaian itu sekali lagi mencerminkan ketegangan berterusan antara Beijing dan Washington, khususnya dalam persaingan mendapatkan dominasi teknologi.
Kedutaan China di Washington turut menafikan dakwaan dalam memo berkenaan.
Jurucakapnya, Liu Pengyu, menegaskan kerajaan China tidak pernah mengarahkan syarikat atau individu mengumpul atau menyerahkan data di luar negara secara melanggar undang-undang tempatan.
Laporan tersebut menambah kepada kebimbangan yang semakin meningkat di AS mengenai potensi penggunaan teknologi canggih oleh China untuk tujuan pengintipan.
Pada Khamis, firma kecerdasan buatan dari California, Anthropic, mendedahkan mereka menghalang satu kempen siber-espionaj yang didakwa dilakukan hampir sepenuhnya oleh AI, dan mengaitkan aktiviti itu kepada kumpulan tajaan negara China, GTG-1002.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata beliau “tidak mengetahui butiran khusus” mengenai dakwaan tersebut, namun menegaskan Beijing konsisten menentang sebarang aktiviti penggodaman.










