KUALA LUMPUR: Tokku Leko Sdn. Bhd. melancarkan kafe konsep pertama, Kafe Tokku dan menyasarkan pembukaan 35 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Sofian Mohd. berkata, pelancaran di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur itu merupakan langkah pertama jenama itu dalam segmen kafe selepas sekian lama dikenali dengan produk keropok lekor tradisional.
“Ketika ini, Tokku Leko telah mempunyai enam cawangan kedai sedia ada, masing-masing tiga di Terengganu dan tiga di Selangor.
“Bagaimanapun, cawangan ketujuh ini kami memperkenalkan dengan konsep kafe yang lebih tersusun dan selesa berbanding outlet sebelum ini yang lebih berbentuk kedai terbuka.
“Pembukaan kafe berkonsep ini juga masih mengekalkan keaslian pembuatan keropok lekor segar dibuat baharu setiap hari seperti kesemua cawangan Tokku dan seiring dengan perancangan kami untuk meluaskan jenama Tokku Leko melalui pelesenan dan francais” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran tersebut.
Turut hadir dan merasmikan pembukaan kafe itu ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Datuk Fadzil.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi, beliau berkata, Taman Sri Rampai dipilih kerana mempunyai kepadatan penduduk Melayu yang tinggi selain menjadi kawasan tumpuan masyarakat Pantai Timur yang sudah terbiasa dengan keropok lekor.
Sementara itu, bagi persediaan sijil halal kafe itu, beliau menjelaskan proses dijangka mengambil masa tiga hingga lima bulan.
“Ini kerana produk Tokku Leko dihasilkan dari kilang sendiri di Terengganu yang telah memperoleh status halal. Tambahan pula, syarikat mempunyai pasukan khas di ibu pejabat yang menguruskan pensijilan berkenaan,” ujarnya.
Hidangan utama di Lekorlicious by Tokku adalah keropok lekor goreng, keropok lekor crispy dan keropok lekor rebus yang menggunakan 90 peratus isi ikan segar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Tokku Leko, Zuliqram Mamsor berkata, melalui pembukaan kafe itu, syarikat turut melancarkan program rasmi iaitu Program Tokkupreneur.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama strategik bersama SME Bank, kita telah membangunkan 25 kiosk Tokku Leko khusus untuk golongan asnaf.
“Usaha ini tidak terhenti di situ kerana dengan sokongan penuh daripada Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kita akan menambah lagi 30 kiosk Tokku Leko di seluruh negara.
“Inilah titik tolak yang membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi rakan niaga kiosk Tokkupreneur.
“Matlamat jangka sederhana kami dalam satu hingga dua tahun adalah untuk memastikan rakan niaga kiosk Tokkupreneur berkembang sehingga mampu menjadi usahawan Kafe Tokku yang membuka lebih banyak cawangan Kafe Tokku di seluruh Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN









