PETALING JAYA: Syarikat automotif China semakin mendapat perhatian di Malaysia kerana mampu menawarkan kenderaan elektrik (EV) dengan teknologi canggih pada harga yang murah.
Pakar Kuasa Elektrik dan Sistem Pemacu dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ishak Aris berkata, kelebihan utama mereka terletak pada penguasaan pembuatan komponen utama secara sendiri, sekali gus membolehkan mereka mengekalkan harga rendah dan bersaing dengan lebih agresif.
“Pengguna Malaysia lebih cenderung memilih EV dari China kerana ia murah, boleh dipercayai, mudah disenggara dan dilengkapi teknologi terkini. Faktor harga serta penyelenggaraan yang rendah memberi kelebihan besar kepada mereka.
“Cabaran utama untuk pengeluar tempatan adalah bagaimana menyaingi model dari China yang mampu menurunkan harga dengan pantas kerana mereka menguasai teknologi dan vendor sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menegaskan pengeluar kereta tempatan perlu segera memperkenalkan strategi lebih kompetitif, termasuk skim pertukaran bateri memandangkan kos bateri EV boleh mencecah RM18,000 hingga RM30,000.
Sementara itu, Pengurus Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera, Ir. Dr. Mohd Azman Abas berkata, gabungan harga mampu milik dengan teknologi canggih menjadikan EV dari China pilihan utama pengguna tempatan.
“Malah ada model mereka yang setanding, bahkan ada yang melebihi spesifikasi dari Barat. Reka bentuk moden serta pengeluaran berskala besar mengurangkan kos sekali gus menjadikannya lebih kompetitif dan memenuhi citarasa pengguna Malaysia,” jelasnya.
Menurut beliau, kehadiran EV China memberi kesan positif kerana menjadi penanda aras baharu kepada industri automotif tempatan.
“Pengeluar Malaysia perlu memberi perhatian kepada tiga aspek utama iaitu harga kompetitif, pembangunan ekosistem lengkap seperti stesen pengecasan dan rantaian bekalan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih mesra pengguna.
“Jika ini dapat dilakukan, pengeluar tempatan bukan sahaja boleh bersaing, malah berpeluang menembusi pasaran serantau,” katanya.
Beliau menambah, dasar serta insentif kerajaan turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri.
“Kerajaan perlu mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan yang masih jauh daripada sasaran selain memberi galakan fiskal seperti insentif cukai, skim subsidi dan dana penyelidikan.
“Dalam jangka pendek, pengeluar China akan terus mendominasi pasaran kerana kelebihan harga dan teknologi.
“Namun dalam jangka panjang, terdapat ruang untuk pengeluar tempatan dan antarabangsa menembusi pasaran sekiranya mampu menawarkan nilai lebih baik,” tambahnya. – UTUSAN