Jangan ulangi kegagalan Mimaland

Jangan ulangi kegagalan Mimaland

KEADAAN laluan masuk utama Taman Tema Mimaland yang popular pada tahun 1971 hingga ia ditutup pada 1994 yang kini terbiar serta dilitupi hutan di Jalan Gombak-Bentong, Selangor. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan Taman Tema Mimaland menjadi contoh apabila industri pelancongan tempatan berdepan realiti taman tema terpaksa gulung tikar akibat isu pengurusan dan keselamatan yang dipandang ringan. 

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, penutupan Mimaland pada awal 1990-an tidak membuktikan konsep taman tema negara sudah tidak relevan.

“Sebaliknya ia berpunca daripada kelemahan pengurusan serta kegagalan mematuhi aspek keselamatan.

“Mimaland pernah menjadi satu-satunya taman tema utama di Kuala Lumpur, namun tragedi dan isu keselamatan yang berlaku telah menjejaskan kepercayaan pengunjung sehingga membawa kepada penutupannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia mengenai taman tema Mimaland di Batu 12, Ulu Gombak yang pernah menjadi ikon pelancongan dan hiburan keluarga paling gah di Malaysia, namun kini kawasan itu seakan lenyap ditelan masa.

Fathir Badri, industri pelancongan negara masih melihat taman tema mampu berdaya saing kerana ia kekal sebagai produk pelancongan yang berupaya menarik pelancong domestik dan antarabangsa.

“Kemunculan taman tema baharu seperti di Genting Highlands yang dinaik taraf, SplashMania dan Gamuda Cove membuktikan permintaan terhadap tarikan seumpama itu masih lagi tinggi,” katanya.

Katanya, kehadiran jenama antarabangsa seperti KidZania dan Legoland pula memperlihatkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi pasaran taman tema di Malaysia. 

Fathir justeru itu mencadangkan agar kerajaan menubuhkan atau memperkasakan satu agensi khusus bagi memantau tahap keselamatan taman tema secara berterusan. 

“⁠Langkah itu dianggap penting bukan sahaja untuk melindungi pengunjung, malah bagi menjaga imej negara sebagai destinasi pelancongan selamat, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN