Tidak perlu RUU URA, akta sedia ada sudah mencukupi

Tidak perlu RUU URA, akta sedia ada sudah mencukupi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTA mengenai membaik pulih, menceriakan semula atau melakukan perubahan ke atas sesuai bangunan sudah pun mencukupi sebelum Rang Undang‑Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebelum diluluskan.

Walaupun RUU tersebut bertujuan mempercepatkan pembaharuan bandar dan menangani bangunan uzur, beberapa isu kritikal seperti kos penyelenggaraan, pampasan dan hak pemilikan masih menimbulkan kebimbangan yang serius dalam kalangan pemilik dan penyewa.

Peguambela dan Peguamcara yang berpengalaman dalam undang-undang hartanah dan tadbir urus, Adriana Abu berkata, undang-undang sedia ada sebenarnya telah memadai kerana pengenalan undang-undang baharu boleh membawa risiko memandangkan ia belum pernah diuji, sedangkan RUU URA bukan isu kecil.

“Jika mahu merobohkan atau membina semula, sepatutnya ia mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), Seksyen 57, subseksyen 1 hingga 7 dan tidak perlu undang-undang baharu yang belum pernah diuji.

“Jika hanya bumbung bocor atau masalah kosmetik, perubahan itu boleh dilakukan tanpa undang-undang baharu,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seminar HBA: Hak Pemilik Rumah Di Tengah Cabaran Strata Dan Risiko URA baru-baru ini.

Beliau menegaskan, waktu ini bukan masa yang tepat untuk menggubal rang undang-undang tersebut.

“Ia tidak sepatutnya digubal atau dikuatkuasakan sekarang. Saya memahami sebahagian objektifnya, seperti menangani kemiskinan bandar atau jenayah, tetapi sebenarnya, cara itu bukan melalui rang undang-undang ini.

“Jika kita mahu membaik pulih, menceriakan semula atau melakukan perubahan kosmetik, kita sudah mempunyai undang-undang lain. 

“Kita juga ada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Pihak berkuasa tempatan sepatutnya meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya melaksanakan kes perintis terlebih dahulu sebelum melaksanakan rang undang-undang tersebut.

“Kita mempunyai banyak kes perintis, termasuk dalam keselamatan siber, teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) serta mempunyai banyak program inkubator. 

“Persoalan saya, bolehkah kita melaksanakan percubaan terlebih dahulu atau kerajaan melakukannya menggunakan tanah sendiri, mungkin di kawasan tertentu yang benar-benar memerlukan?

“Kita boleh mulakan dengan kawasan perumahan yang dimiliki oleh seorang pemilik sahaja, contohnya flat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak dijual tetapi disewakan kepada penyewa. Projek seperti ini boleh dijadikan permulaan atau perintis,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi Parlimen Cheras serta wakil Badan Bertindak Penduduk Taman Cantik, Dev Cheema berkata, penduduk tidak menolak pembangunan, sebaliknya pembangunan itu perlu dimulakan atas persetujuan dan inisiatif pemilik, bukannya ditentukan oleh pemaju.

“Sebagai contoh di Taman Cantik, inisiatif pembangunan pada asalnya dimulakan oleh persatuan penduduk sendiri, namun usaha tersebut terhenti selepas melibatkan pemaju sehingga persatuan berkenaan akhirnya ditutup.

“Ketika ini, tiada pencerahan jelas mengenai 139 kawasan yang dikenal pasti, termasuk 91 kawasan perumahan. Taman Cantik juga tidak tersenarai secara rasmi dan penduduk sendiri yang memanggil pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan.

“Selepas lawatan dibuat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta DBKL hadir dan memaklumkan bahawa Taman Cantik hanya sesuai untuk kerja penyegaran (refurbishment), bukannya pembangunan semula,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu. 

“Pihak berkuasa seharusnya memaklumkan secara telus kawasan mana yang telah dinilai dan disenaraikan, khususnya melibatkan 91 kawasan perumahan tersebut, namun maklumat itu masih belum didedahkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN