Tarif AS dijangka ber tekanan pada eksport Malaysia

Tarif AS dijangka ber tekanan pada eksport Malaysia

PERTUMBUHAN eksport negara dijangka pada kadar lebih perlahan iaitu 2.0 peratus bagi 2025 berbanding 5.7 peratus pada 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan dagangan Malaysia dijangka kekal sederhana pada tahun ini, berikutan pelaksanaan tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia yang dijangka menekan permintaan terhadap barangan tempatan pada separuh kedua 2025, menurut MBSB Investment Bank Berhad.

Bank pelaburan berkata, pertumbuhan eksport negara dijangka pada kadar lebih perlahan iaitu 2.0 peratus bagi 2025 berbanding 5.7 peratus pada 2024, manakala import pula dijangka berkembang 4.5 peratus berbanding 13.2 peratus tahun sebelumnya.

“Tarif AS ke atas eksport Malaysia dijangka memberi tekanan kepada perdagangan dalam separuh kedua 2025, dengan permintaan yang lebih perlahan daripada rakan dagang utama, khususnya AS.

“Walaupun eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka kekal kukuh disokong kitaran kenaikan teknologi global, kelemahan berterusan dalam eksport perlombongan dijangka terus mengekang prestasi keseluruhan,” katanya dalam nota penyelidikan.

MBSB Investment Bank berkata, potensi pengenaan tarif tambahan ke atas semikonduktor turut menjadi risiko tambahan, sekali gus menggariskan kepentingan Malaysia untuk mempelbagaikan pasaran eksport serta mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara lain bagi mengurangkan kesan negatif.

“Penggunaan domestik yang mantap dijangka menjadi pemacu utama menyokong pertumbuhan ekonomi negara di sebalik faktor luaran yang mencabar.

“Bagi Ogos 2025, jumlah dagangan Malaysia susut 1.9 peratus tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada Julai dipengaruhi penurunan import 5.9 peratus dan pertumbuhan eksport yang lebih perlahan pada 1.9 peratus. 

“Eksport ke AS merosot mendadak 16.7 peratus, prestasi paling lemah sejak Jun 2023 akibat kesan tarif terhadap penghantaran produk E&E dan barangan pembuatan lain,” katanya. 

Sebaliknya, eksport ke China melonjak 10.4 peratus, manakala Taiwan mengekalkan pertumbuhan dua angka 32.7 peratus, dipacu permintaan kukuh terhadap produk teknologi. 

Eksport ke Kesatuan Eropah (EU) turut meningkat 9.7 peratus, disokong pemulihan permintaan minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.

“Mengikut sektor, eksport pembuatan yang merangkumi 87 peratus daripada keseluruhan eksport negara berkembang hanya 1.7 peratus, lebih perlahan daripada 9.0 peratus pada Julai. 

“Pertumbuhan E&E merosot kepada 10.1 peratus berbanding 22.5 peratus sebelumnya, manakala eksport minyak sawit pulih 9.1 peratus selepas menurun 3.6 peratus bulan lalu.

“Lebihan dagangan negara melebar kepada RM16.1 bilion pada Ogos, tertinggi dalam tempoh lima bulan berikutan penurunan import yang lebih ketara berbanding eksport.

“Melangkah ke hadapan, usaha memperkukuh rantaian bekalan serantau dilihat penting bagi memastikan daya tahan eksport Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN