Sijil halal lonjak produk Ana Traditional Bakery Sikamat

Sijil halal lonjak produk Ana Traditional Bakery Sikamat

ANA Traditional Bakery Sikamat menyediakan pelbagai jenis kuih tradisonal Melayu seperti karipap pusing, donat dan keria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diterima usahawan makanan sejuk beku, Ana Traditional Bakery Sikamat bukan sekadar pengiktirafan, tetapi menjadi pemacu utama peningkatan permintaan sejak 2024 di Jalan Tunku Kursiah, Sikamat, Seremban. 

Pemilik Ana Traditional Bakery Sikamat, Suhana Mahrudin berkata, pensijilan halal itu memberi jaminan produk yang dihasilkan adalah bersih, selamat dan diyakini. 

Katanya, halal telah membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan beragama Islam tetapi turut menarik minat masyarakat bukan Islam termasuk kaum Cina dan India.

“Pensijilan halal ini sangat perlu untuk menaikkan lagi taraf perniagaan saya, di samping meluaskan lagi pasaran dan penting untuk menjamin produk syarikat keluaran kami halal dimakan dan dapat di nikmati tanpa rasa ragu-ragu.

“Dalam pada itu, kami  memastikan mengutamakan produk yang bersih dan dan halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Menurut Suhana, produk yang dijual adalah kuih tradisional Melayu seperti karipap pusing, donat, keria dan sebagainya.

“Kuih yang saya jual adalah dalam kategori sejuk beku dan ada juga permintaan disediakan panas-panas untuk tujuan kenduri kendara atau majlis rasmi,” katanya.

Kini, Suhana turut membekalkan produk tersebut ke beberapa lokasi seperti stesen minyak dan hotel di Negeri Sembilan.

“Saya juga ada menyediakan kuih yang dibekalkan kepada sebuah restoran popular, Hayyan Huda dan kuih bagi majlis rasmi turut disertai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya yang mempunyai lima orang kakitangan. 

Suhana memaklumkan, pada 2011, dia mula menjual nasi lemak di sekitar Sikamat, Seremban dan mula menjual produk sejuk beku sejak lima tahun lalu. 

“Permintaan yang diterima amat baik terutama bagi kuih karipap pusing kerana mempunyai inti yang pelbagai contohnya, daging, ayam, kentang, kambing dan coklat.

“Produk ini dijual pada harga yang mampu milik dan saiz yang bersesuaian,” katanya.

Suhana turut menasihati usahawan lain yang menjalankan perniagaan sejuk beku sama ada di rumah atau mempunyai kedai mendapatkan sijil dan pengesahan halal.

“Walaupun agak sukar untuk mendapatkannya tetapi manfaatnya bukan sahaja akan dinikmati oleh pembekal atau pembuat tetapi dapat dinikmati oleh semua yang ingin mendapatkan produk keluaran kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN