Sektor hartanah naik 6.7%, atasi kenaikan indeks FBMKLCI

Sektor hartanah naik 6.7%, atasi kenaikan indeks FBMKLCI

UOBKH mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor hartanah, disokong oleh kadar faedah yang menurun dan permintaan kukuh tanah industri melalui JS-SEZ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah terus mencatatkan prestasi memberangsangkan pada separuh kedua 2025 apabila naik 6.7 peratus, mengatasi kenaikan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebanyak 3.8 peratus.

UOB Kay Hian Private Limited (UOBKH) berkata, kenaikan itu dipacu oleh Sunway Bhd. sebanyak 14.4 peratus dan Eco World (+10.5 peratus), manakala prestasi Mah Sing (-9.5 peratus) dan SP Setia (-7.9 peratus) sedikit menekan indeks. 

“Pada masa sama, penilaian sektor meningkat kepada 0.91 kali nilai buku hadapan 12 bulan, lebih tinggi daripada purata sejarah.

“Kami menjangkakan saham seperti Mah Sing, SP Setia dan IOI Properties Group Berhad (IOIPG) akan mengecilkan jurang dengan pesaing berikutan potensi jualan tanah industri, kedudukan strategik di Johor serta penilaian rendah sekitar 0.4 hingga 0.7 kali nisbah harga terhadap nilai buku (PB) 2025.

“Lagenda turut disebut berdaya saing dengan harga 5.3 kali nisbah harga kepada keuntungan (PE) 2025 dan hasil dividen tujuh peratus,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Sementara itu, firma berkata, Johor kekal sebagai titik tumpuan dengan pelancaran projek berhampiran Stesen Rapid Transit System (RTS) yang dijangka rancak pada hujung 2025, mendahului operasi penuh RTS Link pada 2026.

“Walaupun lebihan bekalan pangsapuri servis susut kepada 15,999 unit tahun ini, pelancaran baharu hampir 10,000 unit menimbulkan kebimbangan risiko terlebih bekalan. 

“Bagaimanapun, semakan pasaran mendapati permintaan kekal kukuh, khususnya di kawasan berhampiran RTS.

“Selain itu, projek baharu dalam jarak berjalan kaki ke stesen RTS kini berharga RM1,000 hingga RM1,500 setiap kaki persegi (psf), manakala yang lebih tiga kilometer dijual pada RM800–RM1,000 psf. 

“Akibatnya, harga transaksi purata di Johor Bahru melonjak 20.4 peratus kepada RM709 psf pada separuh pertama 2025,” ujarnya. 

UOBKH berkata, segmen rumah bertanah juga menerima sambutan hangat seperti Fasa 2A dan 3A Aspira Hill oleh UEM Sunrise habis terjual 285 unit dalam tempoh 48 jam pratonton awal, manakala projek Eco Botanic 3 mencatat lebih 1,450 pendaftaran pembeli.

“Johor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM56 bilion dalam separuh pertama tahun ini berbanding RM48.5 bilion tahun lalu, sebahagian besarnya dipacu oleh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

“Permintaan tanah industri juga terus rancak dengan beberapa perjanjian besar dalam proses, termasuk penjualan tanah SP Setia di Tanjung Kupang bernilai kira-kira RM500 juta menjelang akhir tahun.

“Ini merangkumi jualan tanah IOIPG dianggarkan RM500 juta pada separuh pertama 2026, serta penjualan tanah industri oleh Mah Sing dan UEM Sunrise di Meridin East dan Gerbang Nusajaya,” katanya. 

UOBKH mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor hartanah, disokong oleh kadar faedah yang menurun, permintaan kukuh tanah industri melalui JS-SEZ serta pembangunan infrastruktur yang menggalakkan projek berorientasikan transit.

Syarikat pilihan utama penganalisis ialah Sunway, Eco World dan Mah Sing, selain saham yang masih ketinggalan seperti IOIPG dan SP Setia.

Dalam pada itu, katanya, Belanjawan 2026 pula dijangka memberi penekanan kepada perumahan mampu milik termasuk inisiatif pembiayaan untuk pembeli rumah pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN