Proton lancar e.MAS EV di Singapura

Proton lancar e.MAS EV di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton melancarkan kereta elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7, di Singapura minggu ini sekali gus menandakan kemunculan semula jenama ini di negara jiran selepas kira-kira 11 tahun.

Pelancaran ini juga menyaksikan Proton menembusi tiga pasaran luar negara bagi model EV yang kini muncul sebagai EV paling laris di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, ini bukan sekadar pelancaran sebuah produk, namun permulaan sebuah kerjasama yang menggabungkan keupayaan dan inovasi Proton dengan kepakaran serta kepercayaan pelanggan terhadap VINCAR.

“Malaysia dan Singapura bukan sahaja berjiran, malah berkongsi  ikatan yang  rapat melalui keluarga, perniagaan dan kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan. 

Justeru itu, pihaknya berhasrat untuk memberikan sokongan terbaik kepada semua pelanggan Proton di Singapura.

Proton e.MAS 7 telah membuktikan kedudukannya dalam pasaran EV Malaysia yang kompetitif. 

Sepanjang lapan bulan pertama 2025, hampir 6,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya model EV paling popular di Malaysia dengan pegangan pasaran 24 peratus.

Model ini menggabungkan lima teras utama, rekaan bergaya, prestasi kukuh, keselamatan terjamin, keselesaan optimum dan teknologi pintar serta disokong oleh rangkaian pusat 3S/4S terbesar di Malaysia bagi menjamin kemudahan dan keyakinan pelanggan, khususnya mereka yang pertama kali memiliki EV. 

Dengan skor keselamatan ASEAN NCAP sebanyak 92.57 mata, ia juga menjadi model dengan pencapaian keselamatan tertinggi dalam segmennya.

Sementara itu, di Singapura pelanggan boleh memilih Proton e.MAS 7 dalam dua varian iaitu Prime dan Premium, dengan enam pilihan warna iaitu Platinum Silver, Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Obsidian Black

Dua pilihan warna dalaman turut ditawarkan iaitu Indigo Blue dan Alabaster White.

Pakej ini merangkumi jaminan bateri selama 10 tahun tanpa had jarak perjalanan, lima tahun perantauan data percuma di Malaysia dan Singapura serta bantuan tepi jalan rentas sempadan di Semenanjung Malaysia dan Singapura. 

Pemilik dari Singapura boleh mendapatkan perkhidmatan menunda kenderaan mereka ke pusat servis Proton di Malaysia sekiranya berlaku kerosakan ketika berada di Semenanjung Malaysia.

Malaysia juga bakal memulakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) pada 22 September yang akan memudahkan perjalanan antara Singapura dan Johor Bahru, pemilik Proton e.MAS 7 boleh menantikan pengalaman pemanduan rentas sempadan yang lebih lancar dan selesa.

Harga pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura ialah $175,988 (RM577,560.76) bagi varian Prime dan $179,988 (RM590,688.04) bagi varian Premium termasuk COE yang hanya ditawarkan untuk 99 unit pertama sahaja. 

Semua pemilik Proton e.MAS 7 di Singapura juga bakal menikmati bantuan tepi jalan apabila memandu kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, pelancaran Proton e.MAS 7 hanyalah langkah pertama bagi kerjasama Proton dan VINCAR di Singapura. 

“Kami akan memperkenalkan lebih banyak model pada masa akan datang dengan memberi tumpuan kepada pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang telah matang di Singapura,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN