Pertumbuhan KDNK Malaysia berdaya tahan

Pertumbuhan KDNK Malaysia berdaya tahan

MAYBANK Investment Bank mengunjurkan pertumbuhan KNDK negara sebanyak 5.3 peratus pada Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Berhad mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.3 peratus pada Julai, menandakan momentum pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan pada awal suku ketiga 2025.

Penganalisisnya, Azril Rosli berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan data daripada Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), minyak sawit mentah (MSM) dan Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) yang menyumbang 51.4 peratus daripada KDNK negara.

Katanya, IPI meningkat lebih kukuh sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2025, didorong oleh peningkatan pertumbuhan pembuatan dan lantunan semula dalam keluaran perlombongan dalam pertumbuhan sederhana dalam penjanaan elektrik.

Pertumbuhan pembuatan disokong oleh pertumbuhan industri berorientasikan eksport yang lebih kukuh (Julai 2025: 4.1 peratus taun ke tahun) dan pertumbuhan industri berorientasikan domestik yang mampan (Julai 2025: 5.0 peratus tahun ke tahun) iaitu elektrik dan elektronik (E&E), makanan, minuman dan tembakau, produk bukan logam, mineral dan fabrikasi serta peralatan pengangkutan dan pembuatan lain.

“Tinjauan jangka jangka pendek berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan mencadangkan momentum pertumbuhan pengeluaran pembuatan yang mampan pada Ogos 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, beliau berkata, keluaran MSM jatuh 1.6 peratus tahun ke tahun pada Julai (Jun 2025: +4.8 peratus tahun ke tahun) dan seterusnya sebanyak susut 2.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, disebabkan asas yang tinggi dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jelasnya, menggariskan kesan asas yang tinggi, keluaran MSM meningkat bulan ke bulan iaitu naik 2.3 peratus pada Ogos dan 7.1 peratus pada Julai.

“DTI meningkat kepada 4.6 peratus tahun ke tahun pada Julai, berikutan pertumbuhan lebih tinggi dalam volum perdagangan runcit, pengembangan mampan dalam perdagangan borong dan lantunan semula dalam perdagangan kenderaan bermotor.

“Ini menandakan momentum pertumbuhan penggunaan swasta sebenar yang mampan dalam suku ketiga 2025,” ujarnya.

Beliau berkata, bank pelaburan itu mengulangi unjuran pertumbuhan KDNK benar setahun penuh pada 4.2 peratus (2024: 5.1 peratus) dan menjangkakan momentum pertumbuhan yang stabil pada 2026 pada 4.1 peratus.

“Ramalan pertumbuhan rasmi 2025 adalah antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus dan unjuran 2026 akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×