Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 sejajar dengan karbon sifar 2050 - Utusan Malaysia

Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 sejajar dengan karbon sifar 2050

TENGKU Zafrul (dua dari kiri) bersama Liew Chin Tong (tiga kiri) menunjukkan buku Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 selepas Majlis Perasmian Persidangan Pembuat Dasar ASEAN mengenai Keluli & Forum Besi dan Keluli ASEAN 2025 di Menara MITI di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) sebagai usaha menyeluruh untuk menstabilkan, merombak dan mentransformasikan industri keluli negara seiring aspirasi Malaysia mencapai sasaran karbon sifar menjelang 2050.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, industri keluli merupakan antara sektor paling intensif karbon di Malaysia, sekali gus menjadikan agenda nyah karbon sebagai satu keperluan, bukan sahaja dari sudut alam sekitar malah untuk kelangsungan ekonomi negara.

Katanya, SIR2035 yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 20230) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) itu dirangka berasaskan tiga fasa utama melibatkan 15 strategi.

“Dalam tempoh dua tahun pertama, fokus diberikan kepada penstabilan industri termasuk menangani isu lebihan kapasiti, merombak kerangka pelesenan, memperkukuh penguatkuasaan terhadap pengendali haram, menjamin bekalan bahan mentah domestik dan meletakkan asas kepada proses nyahkarbon.

“Bagi fasa kedua dari 2027 hingga 2035, tumpuan beralih kepada transformasi dengan mempercepatkan mekanisme karbon, membangunkan infrastruktur dan piawaian pengeluaran rendah karbon serta menggalakkan pelaburan teknologi baharu bagi memperkukuh daya saing industri.

“Selepas 2035 pula, matlamat utama adalah membangunkan sektor keluli hijau sepenuhnya menjelang 2050 dengan menggerakkan bakat dan modal untuk memastikan industri keluli Malaysia berdaya saing, berdaya tahan dan sejajar dengan komitmen sifar bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Pembuat Dasar Asean Berkaitan Keluli dan Forum Besi dan Keluli Asean 2025 serta pelancaran SIR2035 di Menara MITI di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia menghadapi ketidakseimbangan yang ketara antara bekalan dan permintaan dalam industri kelulinya dengan unjuran domestik menunjukkan kapasiti huluan boleh mencapai 40.8 juta tan menjelang 2030, manakala permintaan domestik hanya 14.7 juta tan.

Jelasnya, jurang ini menyerlahkan lebihan kapasiti aset yang kurang digunakan, pulangan pelaburan yang lemah dan daya saing dan daya tahan keadaan pasaran yang semakin lemah.

Katanya, pelan tersebut akan menangani isu tersebut dengan memberi tumpuan kepada isu lambakan dan penghantaran semula dan bagaimana membendung perkara ini daripada terus berlaku untuk jangka pendek.

“Justeru, (Timbalan Menteri MITI) Liew Ching Tong telah membawa rang undang-undang keluli ke Parlimen untuk memberi lebih kuasa kepada kami untuk melaksanakan tindakan tertentu. Ini penting kerana, suka atau tidak, memang terdapat kes sebenar yang berlaku.

“Jadi kita perlu ambil tindakan. Kedua, isu ini bukan hanya melibatkan Malaysia, tetapi ASEAN juga berdepan dengannya di peringkat global. Saya ada sebutkan beberapa statistik sebentar tadi.

“Kapasiti berlebihan masih berlaku, maka kita perlu meneruskan moratorium. Sebabnya, jika ada syarikat mengatakan mereka hanya datang untuk mengeksport, mereka tetap membina kilang. Tetapi persoalannya, ke mana mereka hendak eksport jika seluruh dunia berdepan masalah kapasiti berlebihan?” soalnya.

Tambahnya, dalam jangka panjang pula, terdapat keperluan untuk industri keluli beralih daripada produk panjang (long) kepada produk rata (flat) yang lebih diperlukan industri bernilai tinggi, berbanding produk asas keluli yang kini berlebihan di pasaran.

Beliau berkata, Malaysia juga mengetahui bahawa pelan hala tuju negara kita juga harus menyumbang kepada usaha kemampanan ASEAN dan mencadangkan rangka kerja kerjasama serantau dipertimbang oleh negara anggota ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN