PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan jualan di Bursa Malaysia untuk minggu kelapan berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.41 bilion pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, jualan bersih sepanjang minggu lalu meningkat hampir lima kali ganda berbanding minggu sebelumnya yang hanya sebanyak RM314.4 juta.
Firma penyelidikan berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dengan aliran keluar antara serendah RM95.4 juta sehingga RM510.1 juta.
“Aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa, diikuti Jumaat (RM330.9 juta), Isnin (RM267.1 juta), Khamis (RM201.9 juta), manakala Rabu yang paling rendah,” katanya dalam nota kajiannya.
Tiga sektor utama mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi adalah pengangkutan dan logistik (RM44.5 juta), pembinaan (RM30.6 juta) serta perkhidmatan dan produk perindustrian (RM23.9 juta).
Sebaliknya, tiga sektor mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM742.6 juta), perkhidmatan dan produk pengguna (RM279.9 juta) serta utiliti (RM159.4 juta).
Firma penyelidikan berkata, institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut dengan sebanyak RM1.16 bilion, berbanding RM391.8 juta pada minggu sebelumnya.
MBSB Research berkata, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengakhiri aliran jualan bersih selama dua minggu, apabila mencatat jumlah aliran belian sebanyak RM249.4 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan secara menyeluruh pada minggu lalu.
“Pelabur asing dan institusi tempatan merekodkan peningkatan masing-masing sebanyak 76.4 peratus dan 13.3 peratus, manakala pelabur runcit mencatat kenaikan yang lebih sederhana kira-kira 14.9 peratus,” katanya. – UTUSAN