PETALING JAYA: Segmen huluan minyak dan gas asli Malaysia pada suku kedua 2025 meningkat sebanyak 45.2 juta tong, sekali gus menggambarkan pemulihan serta penyumbangan kepada kestabilan segmen huluan minyak dan gas asli menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif disokong apabila pengeluaran minyak mentah menunjukkan rekod penurunan yang lebih kecil sebanyak 2.2 peratus berbanding 6.5 peratus pada suku pertama.
Katanya, pengeluaran kondensat masih menunjukkan julat negatif namun, lebih baik berbanding suku sebelumnya dengan negatif 1.2 peratus.
“Pengeluaran gas asli mencatatkan penyusutan sebanyak 8.0 peratus dari tahun ke tahun dengan jumlah sebanyak 640.9 bilion kaki padu.
“Harga purata “Lifting” berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat menurun kepada AS$70.4 (RM297.90) per tong berbanding suku pertama sebanyak AS$76.4 (RM323.32) setong,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penurunan ini menunjukkan pergerakan yang sejajar dengan harga penanda aras global.
Tambahnya, perbandingan bagi WTI mencatatkan AS$64.6 (RM273.26) setong dan AS$71.8 (RM303.71) per tong bagi suku pertama, manakala Brent sebanyak AS$68.0 (RM287.64) setong dan AS$75.8 setong (RM320.63) bagi suku pertama.
Beliau berkata, nilai eksport bagi petroleum mentah dan kondensat mencatatkan nilai RM6.3 bilion pada suku kedua 2025.
“Nilai eksport bagi petroleum mentah dan kondensat didahului oleh Australia dengan jumlah RM1.9 bilion atau 29.7 peratus diikuti dengan negara Thailand dan Jepun masing-masing sebanyak 26.8 peratus dan 14.6 peratus.
“Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis pula menurun kepada RM22.7 bilion berbanding suku sebelumnya.
“Penerima terbesar eksport keluaran petroleum bertapis didahului oleh Indonesia dengan jumlah RM5.0 bilion atau 21.9 peratus. Seterusnya diikuti oleh Singapura dan Australia dengan jumlah 20.0 peratus dan 17.2 peratus,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan nilai eksport gas asli cecair (LNG) yang menunjukkan penurunan kepada RM10.4 bilion berbanding suku sebelumnya iaitu RM15.5 bilion dengan 35.3 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh Republik Korea sebanyak 24.5 peratus dan China dengan 23.4 peratus.
Ulas beliau lagi, pada suku kedua 2025, nilai import petroleum mentah dan kondensat bernilai RM12.9 bilion.
Sementara itu, beliau berkata, pada suku pertama bernilai RM13.6 bilion dengan Arab Saudi sebagai pembekal utama sebanyak 38.5 peratus, diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebanyak 20.0 peratus dan Sudan sebanyak 7.2 peratus.
Sementara itu, nilai import Keluaran petroleum bertapis pula merekodkan RM22.0 bilion dan mencatatkan RM23.2 bilion pada suku pertama dengan Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 38.0 peratus diikuti China sebanyak 13.5 peratus dan Korea Selatan sebanyak 13.2 peratus.
Bagi import LNG, Mohd Uzir berkata, nilainya mencecah RM1.5 bilion pada suku ini dan RM1.9 bilion pada suku sebelumnya dengan 82.4 peratus dari Australia dan 17.6 peratus dari Trinidad dan Tobago. – UTUSAN