Mini JCW E 2025: Hot hatch elektrik, jiwa masih Go-Kart

Mini JCW E 2025: Hot hatch elektrik, jiwa masih Go-Kart

MINI JCW E 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINI kini melangkah lebih jauh ke dunia elektrik dengan pengenalan model John Cooper Work elektrik pertama mereka, Mini John Cooper Works E (JCW E).

Mini Malaysia memperkenalkan JCW E bersama dua lagi model JCW terbaharu mereka di acara Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lepas iaitu JCW versi petrol dan satu lagi model kenderaan elektrik (EV) iaitu JCW Aceman.

Ini bukan sekadar versi ‘elektrik’ semata-mata, tetapi model baharu sepenuhnya, dibina atas platform EV generasi baharu hasil kerjasama dengan GWM.

Prestasi dan Kuasa

Tiada nadi enjin pembakaran dalaman, Mini JCW E dilengkapi motor elektrik tunggal di roda depan, dengan kuasa maksimum 258 HP dan 350 Nm tork (dengan launch control).

Pada mod biasa, kuasa ditala kepada 227 HP dan 340 Nm, manakala 258 HP dan 350 Nm boleh dicapai apabila mod Go-Kart atau semasa butang Boost ditekan.

Angka pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (kmsj) pula boleh dicapai dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan tertinggi sehingga 200 kmsj, cukup agresif untuk sebuah hot hatch elektrik bersaiz kompak.

Pek bateri pula berkapasiti 54.2 kWj yang membekalkan jarak pemanduan sehingga 371 km (kitaran WLTP), dengan kemampuan pengecasan pantas DC 95 kW membolehkan ia dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit(0-100 peratus pada 11 kW AC dalam 5 jam 15 minit).

CIRI moden dan ‘funky’ bersama paparan OLED bulat 9.4 inci di tengah.

Pengendalian dan Dinamik Pemanduan

Selesai bab teknikal, kita bincang tentang pemanduan, walaupun berat 1,650 kilogram (kg) [sekitar 300kg lebih berat dari versi petrol], karakteristik pemanduan Mini masih ketara, tajam, cekap dan terasa ringan di selekoh.

Mod Go-Kart memberikan tindak balas stereng dan pedal yang lebih agresif, disertakan dengan efek bunyi pecutan dari pembesar suara yang kedengaran palsu.

Untuk JCW E, ia tidak menerima suspensi jenis adaptif seperti yang ada pada JCW petrol, namun ia tetap memeberikan input yang baik pada stereng untuk kendalian agresif.

Regeneratif dan Sistem Brek

Ciri wajib bagi sebuah EV, terdapat empat tahap kekuatan brek regeneratif termasuk tetapan adaptif dan mod B (one-pedal driving).

Sistem ini merupakan kelebihan untuk pemanduan bandar, walaupun peralihan dari regen ke brek fizikal terasa sedikit kasar pada kelajuan rendah.

Pedal brek pula agak lembut untuk sebuah hot hatch, namun masih boleh dikawal dengan baik.

TEMPAT duduk balutan Vescin C Cord dengan kemasan merah.

Reka Bentuk dan Kabin

Masuk ke bahagian dalaman, JCW E dalam tampil minimalist dengan ciri moden dan ‘funky’ bersama paparan OLED bulat 9.4 inci di tengah, menggantikan kluster meter biasa.

Ia memaparkan segala maklumat penting, dibantu oleh head-up display (jenis flip-up) dan pembantu suara ‘Hey Mini’.

Konsol tengah direka semula dengan lebih ruang, termasuk pengecas wayarles, dua pemegang cawan dan ruang simpan.

Tempat duduk balutan Vescin C Cord dengan kemasan merah, lengkap dengan pemanas, pelarasan kuasa lapan arah dan fungsi urut untuk pemandu.

Suasana kabin bertambah premium dengan kehadiran sistem bunyi Harman Kardon yang memberikan kualiti bunyi terbaik, lebih-lebih lagi dengan kelebihan ruang kabin yang tidak terlalu besar.

Kapasiti bonet belakang pula seluas 210 L (boleh diluaskan sehingga 800 L dengan kerusi dilipat rata), tiada ruang simpanan lain seperti frunk.

Satu kelebihan berbanding versi petrol, Mini JCW E ditawarkan bermula dari RM218,888 bersama waranti dua tahun, servis enam tahun tanpa had perbatuan serta jaminan bateri EV selama lapan tahun atau 160,000 km. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN