Malaysia perkukuh perdagangan intra ASEAN - Utusan Malaysia

Malaysia perkukuh perdagangan intra ASEAN

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh perdagangan intra ASEAN sebagai strategi utama bagi memastikan daya tahan dan daya saing rantau ini di peringkat global, ketika Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ASEAN mempunyai lebih 700 juta penduduk yang membentuk salah satu pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di dunia.

Namun begitu, beliau berkata, tahap perdagangan intra ASEAN masih kekal sekitar 20 hingga 22 peratus.

“Memperkukuh perdagangan intra ASEAN bukan lagi sekadar aspirasi ekonomi, tetapi kini menjadi keperluan strategik untuk membina ASEAN yang lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan AFTA ke-39 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN perlu menggandakan usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau dalam menghadapi suasana perdagangan global yang semakin tidak menentu.

Menurutnya, langkah itu memerlukan penekanan terhadap pengukuhan keterhubungan fizikal, digital dan peraturan di seluruh rantau.

Sementara itu, beliau berkata, rundingan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) baharu dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, sekali gus memperkukuh integrasi ekonomi serantau dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.

Jelasnya, proses rundingan berhubung ATIGA baharu berjalan lancar dan berada di landasan tepat untuk ditandatangani pada sidang kemuncak tersebut.

“ATIGA baharu menjadi bukti kesungguhan ASEAN menggandakan usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

“Ini penting bagi menjadikan ASEAN lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing dalam persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN