PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melalui konsortiumnya bersama, Solarvest Holdings Berhad (SHB) disenarai pendek untuk membangunkan projek solar berskala besar baharu berkapasiti 470 MW di Windsor Estate milik kumpulan itu yang terletak di Mukim Kamunting dan Mukim Batu Kurau, Perak.
Menurut kenyataannya, SHB menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga (EC) bertarikh 2 September 2025.
Penganugerahan ini adalah hasil daripada proses bidaan kompetitif LSS PETRA 5+ yang dijalankan oleh EC.
Projek ini menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan peralihan tenaga bersih Malakoff dan mencerminkan komitmen kumpulan untuk memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai sokongan kepada agenda pertumbuhan RE negara.
Sehubungan itu, Malakoff dan SHB akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) untuk melaksanakan pembangunan ini.
SPV berkenaan akan menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang membolehkan loji tersebut menjana dan membekalkan tenaga solar kepada grid nasional untuk tempoh 21 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, penganugerahan ini membuktikan keyakinan yang diberikan kepada Malakoff untuk melaksanakan projek yang mampu memberi impak besar kepada masa depan tenaga negara.
“Kami berbangga kerana Malakoff sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek berskala besar dan signifikan seperti ini.
“Pembangunan solar ini bukan sahaja akan menyumbang kepada aspirasi sifar bersih Malaysia, malah membantu memastikan bekalan tenaga negara yang stabil dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dengan mengintegrasikan lebih banyak RE ke dalam grid dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, kumpulan sedang melaksanakan langkah nyata ke arah sasaran kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti RE dalam campuran tenaga menjelang 2050.
“Bagi Malakoff, kami melihat usaha ini lebih daripada sekadar membina sebuah loji solar.
“Ia adalah tentang membina asas untuk masa depan yang lebih bersih dan hijau bagi rakyat Malaysia,” katanya.
Dengan kapasiti RE sedia ada sebanyak 198 megawatt (MW) yang merangkumi solar berskala besar, solar komersial dan industri serta hidro kecil, projek baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga Malaysia.
“Matlamat utama kami adalah untuk menyampaikan kemajuan lestari yang memberi manfaat kepada komuniti, menyokong keutamaan negara dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan kami,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-50 pada tahun ini, Malakoff terus membina kekuatan daripada rekod pencapaian operasi dan pengiktirafan industri untuk memacu pertumbuhan mampan.
Kemenangan berturut-turut sebagai ‘Pengeluar Kuasa Bebas Terbaik’ di Enlit Asia pada 2023 dan 2024 mengukuhkan lagi kepimpinan serta inovasi Kumpulan dalam sektor tenaga, di samping mendukung hasrat ‘Enhancing Life, Enriching Communities’ dan memacu masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan. – UTUSAN