Kesediaan ekonomi terhadap gempa bumi

Kesediaan ekonomi terhadap gempa bumi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini, Malaysia sering dianggap negara yang selamat daripada ancaman gempa bumi. 

Kedudukan geografi yang jauh daripada zon Lingkaran Api Pasifik menjadikan kita merasakan negara ini akan terhindar dari sebarang ancaman. 

Namun, gegaran sederhana yang dirasai khususnya di kawasan Pantai Barat Semenanjung termasuk insiden terbaharu di Segamat, Johor membuka semula persoalan sejauh mana rakyat dan negara benar-benar bersedia menghadapi bencana alam yang tidak dijangka.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, walaupun ancaman gempa di Malaysia rendah, ia tetap berisiko memberi kesan kepada struktur ekonomi, kesejahteraan isi rumah dan kestabilan negara.

“Gegaran kecil boleh merosakkan bangunan, rumah, pelabuhan dan lapangan terbang. Isi rumah akan berdepan kerugian harta benda serta trauma emosi, manakala syarikat pula boleh kehilangan sumber pengeluaran dan peluang pekerjaan. 

“Hal ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pemulihan besar yang menjejaskan dana rizab negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Bashir berkata, sebarang gegaran juga boleh meninggalkan kesan psikologi mendalam. 

“Bagi isi rumah, kehilangan harta dan nyawa akan menjejaskan emosi serta kestabilan kewangan dalam jangka panjang. Trauma ini tidak boleh diukur dengan wang kerana ia boleh menjerumuskan mangsa kepada kemurungan atau masalah kesihatan mental,” jelasnya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia masih kurang memberi perhatian terhadap perlindungan insurans bencana kerana beranggapan risiko gempa terlalu kecil. 

“Keadaan ini sama seperti banjir kilat. Dulu orang anggap ia jarang berlaku, tetapi bila semakin kerap, barulah ramai membeli insurans banjir untuk rumah dan kereta. Jika gegaran semakin kerap dirasai, pola yang sama akan berlaku terhadap insurans gempa bumi,” tambahnya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan mempertimbangkan skim insurans bencana nasional dengan kadar premium mampu milik. 

“Kerajaan boleh memberi subsidi terutama kepada golongan B40 dan M40. Prinsipnya mudah, lebih baik bersedia awal daripada menanggung kos pemulihan yang mencecah puluhan ribu ringgit selepas bencana,” katanya.

Selain perlindungan insurans, Bashir menegaskan keperluan kerajaan melabur dalam mitigasi bencana seperti pembinaan bangunan tahan gegaran, sistem amaran awal dan latihan kecemasan secara berkala. 

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko kerugian, malah meningkatkan keyakinan pelabur asing bahawa Malaysia serius dalam aspek keselamatan bencana,” ujarnya.

Sementara itu, Pe­ngasas Arkitek Mustapha Kamal (AMK), Ar. Mustapha Kamal Zulkarnain berkata, tahap kesedaran pemaju dan pembeli rumah tentang keselamatan gempa bumi di Malaysia masih terlalu minimal.

“Rumah biasa tidak dibina dengan ciri tahan gempa kerana ia tidak diwajibkan. Piawaian memang wujud tetapi tidak mandatori. Selagi tidak diwajibkan, pemaju sukar untuk mengambil kira faktor ini,” jelasnya.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat ketika ini masih reaktif dan hanya muncul selepas berlaku gegaran.

 “Bila ada kejadian, barulah masyarakat mahu bercakap tentang rekahan dan kerosakan struktur. Sepatutnya kita proaktif dengan mewujudkan garis panduan yang jelas untuk semua projek pembangunan,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia perlu mencontohi negara seperti Jepun yang menjadikan piawaian tahan gempa sebagai norma. 

“Di sana, bangunan tinggi boleh disahkan tahan gegaran beribu tahun. Malaysia perlu mula bergerak ke arah itu. Kalau tidak, kita hanya akan menunggu bencana berlaku baru mahu bertindak,” tambahnya. 

Mustapha turut mencadang­kan agar sebuah badan bebas seperti Akademi Sains Malaysia, diberi mandat untuk merangka garis panduan kebangsaan.

“Jika dibiarkan kepada pihak berkuasa tempatan atau pemaju sahaja, ia mungkin tidak menyeluruh. Kita perlukan keputusan muktamad di peringkat nasional kerana isu ini melibatkan keselamatan awam,” katanya.

Hakikatnya, meskipun ke­ba­rangkalian Malaysia ber­depan gempa bumi besar rendah, gegaran sederhana yang mampu meretakkan struktur bangunan sudah cukup untuk menimbulkan kerugian. 

Soalnya, adakah kita menunggu bencana berlaku terlebih dahulu sebelum mengambil langkah pencegahan? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×