FBM KLCI kekal lemah, sentimen pelabur berhati-hati

FBM KLCI kekal lemah, sentimen pelabur berhati-hati

PASARAN saham terus berdepan tekanan luaran termasuk konflik geopolitik dan dasar monetari AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan bergerak lemah bercampur sepanjang separuh pertama tahun ini sehingga hujung Ogos dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal dalam kedudukan negatif pertengahan satu angka, mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur.

Ini bermakna mencatatkan penurunan sekitar empat hingga enam peratus berbanding paras awal tahun.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pasaran terus berdepan tekanan daripada faktor global termasuk konflik geopolitik, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan antarabangsa yang boleh mempercepatkan peralihan jangka pendek serta mencetuskan turun naik mendadak.

Beliau berkata, paras 1,500 mata dilihat sebagai sokongan psikologi penting, dengan potensi pemulihan sekiranya indeks berjaya mengekalkan tahap tersebut, terutama bagi sektor yang masih dinilai rendah.

“Jika berlaku penembusan melepasi 1,535 hingga 1,556 mata, ia boleh membuka ruang kepada kenaikan lebih kukuh. Sebahagian penganalisis menyarankan strategi ‘long and strong’ pada paras rendah, manakala ada yang memilih menunggu petunjuk makroekonomi lebih jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan pasaran yang bercampur ini turut memberi kesan kepada kebanyakan kaunter domestik termasuk syarikat bumiputera, meskipun tiada label rasmi ‘bumiputera’ pada penyenaraian di Bursa Malaysia.

Jelasnya, penilaian biasanya dibuat melalui proksi seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor dominan.

“GLC menguasai pasaran dalam beberapa sektor utama antaranya utiliti (90 peratus), pengangkutan dan logistik (80 peratus), perladangan serta perbankan (masing-masing melebihi 50 peratus), selain kedudukan kukuh dalam telekomunikasi.

“Dari sudut penyenaraian, tahun 2025 setakat ini menyaksikan lebih banyak tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE (29 syarikat) berbanding Pasaran Utama (tujuh syarikat). 

“Ini mencerminkan kecen­derungan syarikat pertumbuhan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memilih laluan itu kerana keperluan rekod prestasi lebih ringan serta akses modal lebih pantas,” katanya. 

Menurutnya, bagi dasar ekuiti bumiputera, syarikat di Pasaran Utama diwajibkan memperuntukkan 12.5 peratus saham terbitan kepada pelabur bumiputera melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Kementerian Kewangan (MOF) ketika penyenaraian, selain memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan awam diagihkan kepada pelabur bumiputera.

“Bagi Pasaran ACE, syarat itu tidak dikenakan pada hari penyenaraian, namun perlu dipenuhi dalam tempoh setahun selepas layak ke Pasaran Utama atau lima tahun selepas disenaraikan (mana lebih awal). Sekiranya terdapat peruntukan awam, sekurang-kurangnya 50 peratus perlu diberikan kepada pelabur bumiputera,” jelasnya.

Mengulas mengenai prestasi syarikat bumiputera, beliau berkata, tiada pecahan rasmi mengikut status bumiputera.

“Namun, sektor yang banyak disertai GLC seperti perbankan, utiliti, telekomunikasi dan perladangan kekal memberi impak besar kepada indeks. GLC juga menyumbang sekitar sepertiga permodalan pasaran Bursa Malaysia.

“Selain itu, kadar dasar semalaman (OPR) yang diturunkan 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Julai lalu dijangka mengurangkan kos pembiayaan dan menyokong syarikat domestik berorientasikan pengguna serta infrastruktur.

“Ringgit yang mengukuh sekitar enam peratus berbanding dolar AS setakat awal tahun hingga kini pula memberi manfaat kepada pengimport, namun berpotensi menekan margin pengeksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN