Fahami 7 perkara sebelum terima tawaran pinjaman

Fahami 7 perkara sebelum terima tawaran pinjaman

MEMAHAMI terma dan syarat dalam perjanjian dengan bank adalah penting supaya pembeli rumah dapat membuat keputusan dengan lebih bijak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI pembeli rumah, khususnya pembeli rumah pertama, terlalu teruja apabila pinjaman bank mereka diluluskan sehingga menandatangani surat tawaran pinjaman (LO) tanpa meneliti isi kandungannya.

Tindakan terburu-buru ini boleh membawa risiko pada masa depan sekiranya terlepas pandang perkara penting dalam LO.

Bagi mengelak masalah, berikut panduan tujuh perkara utama yang dikongsikan oleh Pengasas Komuniti Perjuang Hartanah, Ahyat Ishak untuk disemak dan difahami sebelum menurunkan tandatangan pada LO pinjaman bank.

Kadar Keuntungan (Interest Rate)

Semakin rendah kadar keuntungan, semakin rendah bayaran bulanan. Kadar ini juga akan ditentukan oleh profail kewangan kita di mata bank.

Kalau profil kita cantik, maka bank akan bagi kadar yang lebih rendah. Ia juga faktor utama menentukan jumlah ansuran bulanan pembiayaan rumah.

Margin Pembiayaan (MOF)

MOF merujuk peratusan harga rumah yang dibiayai bank dan terdapat skim khas menawarkan 100 peratus pembiayaan, namun kelayakan bergantung pada syarat tertentu.

Jadi, jangan hanya tengok tinggi margin semata-mata, pastikan rumah itu sesuai dengan kemampuan anda.

Tempoh Pembiayaan

Tempoh pembiayaan mempengaruhi bayaran bulanan dan jumlah keseluruhan yang anda perlu bayar kepada bank.

Lagi panjang tempoh (contoh 35 tahun), bayaran bulanan akan lebih rendah, tetapi jumlah keseluruhan hutang lebih besar. Umur maksima untuk tempoh pembiayaan adalah 70 tahun.

Adakah kita perlu tarikh pembiayaan sehingga umur maksima? Bagaimana kita nak tanggung bayaran itu ketika kita sudah tua nanti? Semua ini perlu difikirkan dan dipertimbangkan.

Tempoh Larangan (Lock-in Period)

Ini adalah tempoh yang menghalang penyelesaian penuh atau pembiayaan semula tanpa dikenakan penalti.

Tempoh ini berbeza dari bank ke bank, boleh jadi tiga hingga lima tahun, namun ada bank tidak mengenakan syarat ini, khususnya bagi pembiayaan Islamik. Semak terma sebelum menandatangani.

Perlindungan Takaful (MRTT/MLTT)

Bank akan cadangkan anda ambil perlindungan takaful untuk melindungi baki hutang jika berlaku kematian atau hilang upaya.

Perlindungan penting bagi mengelak beban hutang ditanggung waris sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya.

Pastikan perlindungan mencukupi kerana tidak semua polisi menampung tempoh penuh atau penyakit kritikal.

Klausa Kegagalan Bayaran (Default)

Kita mungkin tidak berniat gagal membayar, namun penting memahami tindakan bank jika lewat atau gagal bayar kerana ia boleh menjejaskan keseluruhan tempoh pembiayaan.

Syarat Khas (Condition Precedent)

Ramai terlepas pandang syarat khas yang kadang kala ditetapkan bank, contohnya meletakkan deposit dalam akaun simpanan.

Kelewatan mematuhinya bo­leh melambatkan pembiayaan, menjejaskan pembelian dan menyebabkan deposit hangus.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN