Pengurusan sisa pelabuhan lebih tersusun dengan SOP baharu

Pengurusan sisa pelabuhan lebih tersusun dengan SOP baharu

SPPP memperkenalkan SOP baharu bagi pengurusan sisa yang dijana kapal di semua terminal Pelabuhan Pulau Pinang.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Semua terminal di Pelabuhan Pulau Pinang akan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi pengurusan sisa kapal sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan Dasar Pelabuhan Hijau dan mempercepatkan peralihan kepada operasi pelabuhan rendah karbon.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, SOP itu diwujudkan bagi memastikan pengendalian sisa kapal dilaksanakan secara seragam, selamat dan mematuhi semua peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, pelaksanaan SOP tersebut dijangka melancarkan operasi pengurusan sisa di kawasan pelabuhan selain meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan syarikat pengendali dan pihak berkepentingan.

“Pengurusan sisa yang lebih tersusun penting bagi memastikan aktiviti pelabuhan berjalan lancar tanpa menjejaskan alam sekitar serta mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, semua syarikat pengurusan sisa yang ingin beroperasi di kawasan pelabuhan diwajibkan memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh SPPP sebelum memulakan sebarang aktiviti.

Selain itu, syarikat terbabit turut perlu mendapatkan kelulusan daripada beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan semua aktiviti pengendalian sisa dijalankan secara sistematik, selamat dan mengikut syarat yang ditetapkan.

SOP berkenaan turut mengelaskan sisa kapal kepada tiga kategori iaitu kategori A bagi sisa terjadual, kategori B melibatkan sisa domestik termasuk bahan pembungkusan kayu (dunnage) dan kategori C melibatkan sisa kumbahan.

Menurut Soon Hin, setiap pengendali juga diwajibkan mengesahkan kuantiti sisa bersama kapal sebelum kerja pelupusan dijalankan dan mengemukakan dokumen pengisytiharan seperti nota pelupusan atau pelepasan kepada pihak pelabuhan serta agensi berkaitan selepas operasi selesai.

Beliau berkata, pelaksanaan SOP itu selaras dengan aspirasi Pelabuhan Hijau yang digariskan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi memperkukuh kawalan terhadap pelupusan sisa, mengurangkan risiko pencemaran marin serta menggalakkan amalan kitar semula dan pelupusan secara bertanggungjawab.

“Keperluan pelesenan, pengesahan kuantiti sisa dan pelaporan selepas operasi akan memperkukuh mekanisme pencegahan pencemaran, sekali gus menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang lebih mampan dan mesra alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN