KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengadakan sekatan jalan raya sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 dari 31 Julai hingga 1 Ogos ini, namun memberi amaran tidak berkompromi terhadap mana-mana peserta yang melanggar undang-undang jalan raya.
Bagi memastikan kelancaran perhimpunan komuniti permotoran yang dijangka menghimpunkan antara 100,000 hingga 120,000 penunggang Yamaha RXZ dari seluruh negara itu, seramai 619 pegawai dan anggota polis digerakkan di lokasi program serta laluan utama di seluruh negeri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, walaupun tiada sekatan jalan raya diadakan, penguatkuasaan terus dipertingkat menerusi rondaan, pemantauan dan penempatan anggota di lokasi strategik.
“Tiada sekatan jalan raya tetapi itu bukan bermakna ada pengecualian. Jika melakukan kesalahan, kita ambil tindakan mengikut undang-undang.
“Strategi penguatkuasaan tetap dilaksanakan, cuma kaedah operasi adalah strategi polis dan tidak boleh didedahkan,” katanya dalam sidang media sempena penganjuran RXZ Members 8.0 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khairi, berdasarkan penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu, dua kemalangan maut direkodkan masing-masing di Dungun dan Hulu Terengganu, selain dua kemalangan cedera parah di Kemaman dan Setiu serta tujuh kemalangan cedera ringan membabitkan Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun.
“Walaupun jumlah kemalangan maut menurun berbanding tahun sebelumnya, setiap kehilangan nyawa adalah satu tragedi yang amat kita kesali. Justeru iytu, kita mahu penganjuran kali ini berlangsung dengan lebih selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata, pondok dan khemah polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Miami dan Jalan Pantai Kota Ketapang bagi menghalang peserta melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ serta meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan.
Beliau turut mengingatkan semua peserta supaya memastikan motosikal diselenggara dengan baik, memiliki lesen memandu yang masih sah serta mematuhi had laju dan semua peraturan jalan raya.
Katanya, penggunaan cermin sisi, nombor pendaftaran mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ekzos standard adalah wajib dipatuhi. – UTUSAN










