CIMB, PingPong perkasa pembayaran rentas sempadan

CIMB, PingPong perkasa pembayaran rentas sempadan di seluruh ASEAN

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin (dua dari kiri) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PingPong, Robert Chen dan Lawrence Loh (kiri) serta Jianqin Shu pada majlis menandatangani MoU antara CIMB dan PingPong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) muncul bank pertama ASEAN menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PingPong Global Holding Ltd (PingPong) bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelesaian pembayaran rentas sempadan.

Kerjasama strategik itu menyaksikan PingPong menjadi rakan kongsi bank CIMB di rantau ini dengan mengintegrasikan infrastruktur perbankan kumpulan bersama rangkaian global PingPong serta bakal menawarkan perkhidmatan pembayaran lebih pantas, selamat dan cekap kepada perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Lawrence Loh berkata, urus niaga rentas sempadan yang lancar amat penting bagi perniagaan untuk terus berkembang dalam ekonomi digital dan saling berhubung masa kini. 

“CIMB berbangga menjadi bank pertama di rantau ini yang menjalinkan kerjasama dua hala dengan PingPong, peneraju dalam pembayaran perniagaan ke perniagaan (B2B) rentas sempadan, dengan mengintegrasikan penyelesaian kutipan global tempatan dan pembiayaan peniaga terus ke dalam ekosistem CIMB. 

“Ini akan memperkasakan perusahaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berurus niaga di peringkat global dengan lebih mudah, pantas dan yakin. 

“Selaras dengan strategi Forward30, keupayaan ini mengukuhkan lagi peranan kami sebagai rakan kongsi dipercayai dalam memacu pertumbuhan perniagaan dan perdagangan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan. 

Inisiatif tersebut dilancarkan di Malaysia sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pasaran utama seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja.

Perniagaan di ASEAN dijangka mendapat manfaat daripada perkhidmatan pembayaran segera yang lancar, penyelesaian kewangan bersepadu serta sokongan pakar bagi membantu pengoptimuman operasi dan pertumbuhan di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APAC dan Rakan Kongsi Kumpulan di PingPong, Jianqin Shu berkata, kerjasama itu mewujudkan gabungan yang kukuh, dengan CIMB mendapat akses kepada rangkaian kutipan dan pembayaran global kami yang terbukti, sekali gus menghapuskan yuran rentas sempadan yang mahal.

“Sebagai syarikat pembayaran global yang mempercepatkan masa depan perdagangan digital, pihaknya amat teruja untuk bekerjasama dengan satu daripada peneraju perbankan ASEAN bagi menjadikan pembayaran B2B rentas sempadan semudah transaksi tempatan.

“Kini kami boleh menawarkan akaun maya berbilang mata wang dengan penukaran yang lancar, ditambah dengan pembiayaan peniaga tersuai serta penyelesaian kad. 

“Bersama-sama, kami bukan sahaja mengukuhkan kehadiran kami di seluruh rantau ASEAN, malah menjadikan perdagangan global benar-benar boleh diakses oleh perniagaan,” ujarnya. 

Melalui kerjasama itu, infrastruktur pembayaran CIMB akan memanfaatkan platform PingPong untuk menerima bayaran dalam lebih 20 mata wang tempatan melalui akaun maya tempatan, sekali gus menghapuskan kos yuran rentas sempadan. 

Perniagaan boleh menyimpan dana dalam akaun berbilang mata wang CIMB, menukar mata wang dengan mudah serta membuat atau menerima bayaran daripada pembeli, pembekal, pekerja dan rakan kongsi di seluruh dunia.

Dalam pada itu, kerjasama itu juga mengintegrasikan penyelesaian pembiayaan peniaga yang dikuasakan oleh CIMB untuk PKS dan pangkalan peniaga korporat PingPong, dengan menawarkan sokongan kewangan disesuaikan bagi memacu pertumbuhan perniagaan serta kecekapan operasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN