KUALA LUMPUR: Platform sistem HR, MySyarikat dibawah Byond Tech Global Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Maybank Trustees Berhad dalam penyelesaian kesinambungan perniagaan dan perancangan harta pusaka khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pertama di Malaysia.
Kerjasama itu menyepadukan platform HR berasaskan awan dengan syarikat amanah berlesen yang disokong bank, sekali gus membawa elemen perancangan harta pusaka dan pewarisan ke dalam ekosistem HR digital.
Langkah tersebut menyasarkan sokongan menyeluruh kepada PKS bukan sahaja dari segi pengurusan tenaga kerja, malah dalam aspek perlindungan serta kesinambungan perniagaan jangka panjang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Byond Tech, Malik Hairuddin berkata, matlamat syarikat adalah menjadikan pengurusan HR lebih mudah, pantas dan patuh bagi perniagaan yang sedang berkembang.
“Namun, kami juga sedar kecekapan operasi hanyalah sebahagian daripada membina syarikat mampan.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada persediaan masa depan dan memperkasa PKS bukan sekadar untuk beroperasi dengan lebih baik, tetapi juga lebih bersedia.
“Legasi dan kesinambungan tidak seharusnya menjadi perkara terakhir. Dengan Maybank, kami menyediakan pemilik perniagaan alat untuk merancang dengan lebih jelas dan yakin,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.
Dilancarkan pada 2019, MySyarikat merupakan platform Pengurusan Modal Insan (HCM) berasaskan awan yang membantu PKS dan syarikat sederhana menstrukturkan semula proses HR daripada pengambilan pekerja, orientasi, penggajian, tuntutan elektronik, cuti elektronik, latihan hingga pematuhan.
Setakat ini, platform berkenaan menyokong lebih 27,000 perniagaan dengan 180,000 pengguna aktif di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Selain itu, antara pelanggan termasuk Todak, Richiamo Coffee, UniKlinik dan Bawal Exclusive meliputi sektor hospitaliti, runcit, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees, Nor Fazlina Mohd. Ghouse berkata, perancangan pewarisan adalah bidang kritikal yang sering disalah fahami atau diabaikan, terutama dalam kalangan PKS.
“Tanpa pelan pewarisan berkesan, perniagaan mungkin berdepan risiko besar dan ketidakstabilan apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
“Sebagai peneraju dalam amanah serta perancangan harta pusaka konvensional dan Islam, kami teruja merungkai halangan terhadap penyelesaian legasi melalui kerjasama ini.
“Matlamat utama kami ialah memperkasa pemilik perniagaan untuk merancang dengan bijak serta melindungi apa yang dibina dengan susah payah,” ujarnya.
MoU dengan Maybank adalah sebahagian daripada peta hala tuju pengembangan serantau serta persediaan ke arah tawaran awam permulaan (IPO) Byond Tech Global yang disasarkan pada 2028. – UTUSAN