Aidilfitri: Kerja penyelenggaraan lebuh raya dihentikan 2 minggu - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Kerja penyelenggaraan lebuh raya dihentikan 2 minggu

ALEXANDER Nanta Linggi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kerja penyelenggaraan lebuh raya diarahkan dihentikan bermula esok hingga 30 Mac ini bagi memastikan kelancaran trafik sempena musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan itu bertujuan mengelakkan penutupan lorong serta meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya, khususnya perantau yang pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota selepas perayaan.

Katanya, langkah tersebut merupakan antara usaha proaktif kerajaan dalam memastikan perjalanan lebih lancar, selamat dan selesa sepanjang tempoh puncak pergerakan trafik.

“Palam masa sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Pengguna juga disarankan memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya LLM dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju serta memberi perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, pengguna yang menggunakan lorong smart lane perlu memberi isyarat awal sebelum memasuki laluan tersebut, memandu mengikut kelajuan ditetapkan serta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.

“Orang ramai juga digalakkan menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), termasuk di media sosial atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

“Maklumat tambahan juga boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi LLM bagi paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat membawa kegembiraan kepada rakyat yang pulang menyambut Aidilfitri.

Katanya, langkah itu juga mampu meringankan kos perjalanan, khususnya bagi mereka yang menempuh perjalanan jauh selain menanggung pelbagai perbelanjaan persiapan hari raya.

“Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun ini bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan serta mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN