RM3.79 juta getah dibeli di bawah Inisiatif Pembeli Getah Utama - Utusan Malaysia

RM3.79 juta getah dibeli di bawah Inisiatif Pembeli Getah Utama

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai keseluruhan RM3.79 juta dibeli Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setakat Februari lalu, selepas menjadi pembeli getah utama sejak awal tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif di bawah Risda Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) yang berperanan sebagai agen pelaksana meningkatkan pengeluaran getah domestik sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan 300,000 tan metrik pada tahun ini, sekali gus menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik

Katanya, pencapaian tersebut mengembalikan keyakinan pekebun kecil untuk kembali aktif mengusahakan kebun mereka.

“Langkah ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada 2024.

“Inisiatif Risda berlandaskan peruntukan di bawah Akta Risda 1972 (Akta 85) yang memberi ruang memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian perdagangan getah negara, merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara.

“Di samping itu, ia mampu memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa serta memastikan masa depan sektor komoditi ini kekal berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peningkatan itu melonjakkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sekitar RM387.50 sebulan atau bersamaan RM4,650 setahun.

Katanya, bagi kebun seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan manakala bagi keluasan 2.0 hektar ke atas berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan.

“Sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.

“Inisiatif ini sekali gus meningkatkan purata harga belian oleh RPSB daripada sekitar RM3 kepada RM3.70 sekilogram,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN