Belanjawan 2026: Dijangka fokus ringankan beban rakyat

Belanjawan 2026: Dijangka fokus ringankan beban rakyat, golongan M40 tidak dipinggirkan

ORANG ramai beratur di kaunter khas Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk menebus bantuan di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.-UTUSAN/NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan subsidi bersasar, penyediaan insentif baharu serta perhatian khusus kepada kumpulan M40 yang semakin tertekan dengan kos sara hidup.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kerajaan dijangka meneruskan serta menambah baik beberapa inisiatif sedia ada bagi mengurangkan beban rakyat.

“Fokus utama adalah kepada subsidi yang lebih bersasar iaitu bantuan akan diberikan kepada kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan melalui mekanisme Pangkalan Data Utama (PADU). 

“Bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga dijangka ditingkatkan dari segi jumlah dan liputan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, kerajaan berkemungkinan mengekalkan subsidi untuk barangan keperluan asas seperti minyak masak, tepung dan beras, selain memperkukuh program Jaminan Akses Makanan bagi memastikan harga makanan terkawal serta bekalan stabil.

Mengulas mengenai insentif baharu, Mohamad Idham berkata, langkah itu mungkin melibatkan potongan cukai atau geran untuk program latihan kemahiran (upskilling & reskilling), khususnya dalam bidang teknologi dan ekonomi digital.

“Kerajaan juga dijangka menambah baik insentif pemilikan rumah pertama seperti Skim Rumah Pertamaku dengan meningkatkan had harga rumah layak atau menawarkan kadar faedah lebih menarik. 

“Potongan cukai untuk pembelian peralatan atau perkhidmatan yang meningkatkan kecekapan tenaga seperti panel solar juga tidak mustahil dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kumpulan M40 tidak boleh dipinggirkan kerana mereka sering berdepan dilema, pendapatan melebihi syarat untuk bantuan penuh, tetapi tetap terkesan dengan kos hidup yang tinggi.

“Kerajaan dijangka memberi perhatian khusus kepada kumpulan ini melalui pelarasan cukai pendapatan yang lebih adil, melanjutkan kelayakan bantuan bersyarat berdasarkan bilangan tanggungan serta memperkenalkan insentif seperti pelepasan cukai untuk caruman sukarela skim persaraan dan perlindungan insurans kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×