Belanjawan 2026: Cukai korporat dijangka dinaikkan

Belanjawan 2026: Cukai korporat dijangka dinaikkan

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memperkenalkan cukai baharu atau melakukan penyesuaian terhadap kadar cukai korporat dalam Belanjawan 2026 pada bulan depan, kata penganalisis.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, cukai korporat kini berada pada paras 24 peratus.

“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk menaikkan kadar cukai korporat kepada 24.5 peratus atau 25 peratus sebagai langkah untuk meningkatkan hasil negara tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 dijangka berhemah, selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pengurusan fiskal yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Jelasnya, tumpuan utama akan diberikan kepada sektor pertanian, perkhidmatan, perkilangan dan pelancongan, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang bakal dilancarkan secara rasmi pada awal tahun hadapan.

“Fokus kepada sektor-sektor ini dilihat mampu merangsang ekonomi domestik, mencipta peluang pekerjaan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta pelancongan utama di rantau ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, sektor berkaitan sosial dan ekonomi rakyat akan terus menerima tumpuan utama daripada kerajaan. 

“Ini bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran domestik, termasuk isu kenaikan kos sara hidup,” katanya. 

Menurut beliau, perhatian kerajaan terhadap sektor sosioekonomi rakyat amat penting dalam memastikan dasar fiskal negara selari dengan prinsip Kerajaan Madani yang prihatin dan cakna terhadap permasalahan rakyat.

“Saya menjangkakan belanjawan untuk sektor berkaitan sosial dan ekonomi rakyat akan terus diberi perhatian oleh kerajaan. Ini penting agar perubahan dalam ekonomi global tidak memberi kesan buruk kepada rakyat. 

“Penarikan subsidi serta kenaikan kos sara hidup perlu ditangani secara bijaksana oleh kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan pengenalan cukai baharu yang akan dikenakan secara langsung kepada rakyat dalam bagi mengelakkan reaksi negatif terhadap kerajaan.

Selain daripada tumpuan terhadap sektor rakyat, beliau turut meramalkan pengenalan beberapa insentif baharu, terutamanya untuk pembayar cukai dan pelabur, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Beberapa insentif baharu mungkin akan diperkenalkan, terutamanya untuk pembayar cukai dan pelabur, bagi memastikan kedua-dua kumpulan ini terus menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menjadi perhatian umum ketika ini dijangka akan ditambah baik bagi mengelakkan beban berlebihan kepada pengguna.

Dalam masa yang sama, insentif sedia ada berkemungkinan akan ditambah baik, termasuk kenaikan gaji penjawat awam serta pelbagai bentuk bantuan lain untuk rakyat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengumumkan insentif baharu berkaitan pembelian kenderaan elektrik (EV), sejajar dengan perkembangan pesat industri EV di Malaysia yang kini turut disertai oleh syarikat seperti Tesla, BYD dan Proton.

Belanjawan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN