KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama dalam industri perhotelan untuk kekal berdaya saing di pasaran global.
Ketua Serantau STAAH, Michelle Yong berkata, perubahan landskap pelancongan selepas pandemik menuntut pengusaha hotel menggunakan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pelanggan serta menambah sumber pendapatan.
“Dulu ramai yang skeptikal tentang AI, tetapi kini hampir semua orang menggunakannya dalam pelbagai bentuk. AI bukan sekadar menulis e-mel atau menghasilkan ayat, malah mampu mempercepatkan pembangunan produk, analisis data serta memperkukuh strategi jualan.
“Contohnya, sebelum ini pembangunan produk mengambil masa berminggu-minggu, tetapi dengan AI, ia boleh disiapkan dalam tempoh seminggu,” katanya semasa pembentangan Digital Transformation: Empowering Malaysian Hotels with Smart Distribution on the journey towards AI di sini hari ini.
Menurut Michelle, STAAH yang berpangkalan di Auckland, New Zealand kini digunakan oleh lebih 20,000 premis penginapan di 90 negara, termasuk Malaysia.
Syarikat itu turut diiktiraf sebagai rakan strategik oleh beberapa platform global seperti Agoda, Expedia dan Booking.com.
Beliau menambah, sejak Disember lalu STAAH menjadi sebahagian daripada The Access Group, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di United Kingdom yang mempunyai lebih 8,000 kakitangan di seluruh dunia, termasuk 600 di Malaysia.
“Dalam The Access Group, segala pembangunan produk adalah berasaskan AI. Kami mahu mendahului pasaran, bukan sekadar mengikut. AI digunakan bukan sahaja dalam operasi, malah dalam fungsi jualan, pengurusan data dan pemasaran,” ujarnya.
Michelle turut menekankan kepentingan hotel memanfaatkan data pelanggan dengan lebih mendalam, bukan sekadar membuat perbandingan harga.
“Data bukan hanya angka. Ia perlu dianalisis untuk memahami tingkah laku tetamu, sama ada mereka memilih hotel berdasarkan harga, pengalaman atau nilai tambah tertentu.
“Sebagai contoh, pelancong perniagaan mungkin mahukan daftar masuk awal, manakala keluarga pula mencari pakej dengan aktiviti tambahan. Inilah yang membezakan strategi pemasaran hotel,” jelasnya.
Tambah beliau, pengalaman dan budaya kini menjadi faktor utama pelancong memilih destinasi. Justeru, hotel perlu bersedia menawarkan pengalaman yang unik, termasuk melalui enjin tempahan yang lebih mesra pengguna serta penggunaan AI bagi mengurus ulasan pelanggan secara lebih peribadi.
“AI bukan untuk menggantikan keputusan manusia, tetapi membantu kita menjadi lebih cekap. Pada akhirnya, otak manusia tetap diperlukan untuk menganalisis dan membuat keputusan terbaik,” tambahnya. – UTUSAN